Pesara GLC era 80-an rayu PMX selesaikan isu pencen rendah

Mohamed Shafie
Mohamed Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu menyelesaikan isu kadar pencen pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diswastakan pada 1980-an.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mendakwa, lima perdana menteri sebelum ini gagal berbuat demikian walaupun pihaknya telah menghantar 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun lalu.

Menurutnya, rata-rata pesara terbabit menerima pencen serendah RM180 sebulan dengan kadar kenaikan dua peratus setahun berdasarkan tangga gaji diterima ketika zaman berkenaan.

“Kami agak kecewa kerana perkara ini tidak menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membawa ke perhatian ramai, perdana menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dalam usaha terkini, UNI-MLC telah menulis surat untuk perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan yang lalu.

“Kami meletakkan harapan agar Perdana Menteri ke-10 akan mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Mohamed Shafie, pihaknya meminta kerajaan memikirkan cara terbaik bagi membantu mereka yang merupakan bekas kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Keretapi Tanah Melayu (KTM), Pos Malaysia Berhad, North Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain.

Ujarnya, pesara itu tergolong dalam kumpulan B40 yang kini sangat terbeban dengan kenaikan dan peningkatan kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

“Kami merayu kerajaan semasa akan melihat dan meneliti perkara ini, sekaligus membawa penyelesaian positif selaras dengan dasar Malaysia Madani,” katanya.