Polis Selangor, Prasarana jalin kerjasama atasi jenayah di stesen MRT

Noor Azam (dua kiri) membuat gimik pelancaran program berkenaan.
Noor Azam (dua kiri) membuat gimik pelancaran program berkenaan.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis Selangor dan Prasarana Malaysia Berhad akan bekerjasama bagi meningkatkan rondaan cegah jenayah dalam usaha untuk memastikan keselamatan pengguna di stesen-stesen Transit Aliran Massa (MRT).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 58 kes jenayah samun dan curi dilaporkan berlaku di stesen-stesen MRT sekitar negeri ini.

Beliau berkata, antara stesen yang pernah dilaporkan berlaku kejadian jenayah sebelum ini adalah stesen MRT Sungai Buloh, Petaling Jaya, Gombak, Serdang, Kajang dan Subang Jaya.

"Kita akan meningkatkan rondaan di stesen-stesen ini dengann menggunakan elemen pencegahan jenayah seperti kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan menempatkan anggota tugas am dari balai berhampiran," katanya kepada media selepas Pelancaran Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) 7 Polis Selangor bersama Prasarana Malaysia Berhad yang berlangsung di Stesen MRT Sungai Buloh hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pelancaran itu, Noor Azam berkata langkah ini merupakan salah satu inisiatif polis dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan masyarakat umum khususnya mereka yang menggunakan perkhidmatan ini.

Menurut beliau, program ini juga dapat membolehkan polis bertemu terus dengan masyarakat bagi memberi maklumat terkini mengenai situasi jenayah yang berlaku.

"Di samping itu, program ini juga dapat memberi kesedaran buat masyarakat untuk lebih berjaga-jaga dalam sebarang situasi," katanya.

Menerusi program itu juga, Noor Azam berkata pihaknya turut mengedarkan sebanyak 400 borang maklum balas balik kampung kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pengedaran ini juga adalah bagi mengingatkan orang ramai supaya mengisi borang berkenaan sekiranya mereka pulang ke kampung pada musim perayaan ini bagi membolehkan polis memantau rumah pihak terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah juga boleh memyalurkan maklumat melalui aplikasi Volunteer Smart Patrol (VSP) yang lebih cepat dan mudah," katanya.