Pemandu treler direman empat hari

Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

KEPALA BATAS - Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan di terowong di Jalan Paya Keladi dekat sini pada Jumaat direman empat hari selepas didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, perintah reman bermula pada Sabtu dan pemandu treler berusia 54 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sabit kesalahan pemandu terbabit boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas terlanggar kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Paya Keladi, Pinang Tunggal di sini.

Mohd Asri sebelum ini berkata, penunggang motosikal itu mengalami luka kecil di beberapa bahagian badan dan tidak serius.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa yang juga seorang lelaki sedang mengekori sebuah treler membawa muatan kontena dari arah Bertam Indah ke Kuala Ketil, Kedah.

"Kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama dan ketika melalui terowong di Jalan Paya Keladi, bahagian atas kontena telah terlanggar bahagian atas terowong menyebabkan kontena terjatuh di atas jalan.

"Pada masa yang sama sebuah motosikal yang mengekori dari arah belakang treler itu tidak sempat memberhentikan motosikalnya lalu terlanggar kontena terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan: