Kerajaan teliti tindakan Indonesia haramkan jualan barang di TikTok

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika langkah yang sama diikuti oleh kerajaan, namun pada masa yang sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga terhadap produk-produk yang dijual menerusi platfom itu.

"Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia menggunakan platform TikTok Shop untuk menjual barang, jadi saya akan minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan KKD untuk meneliti asas langkah yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia untuk mengekang TikTok Shop.

"Saya rasa pihak TikTok perlu tampil memberikan penjelasan kerana salah satu aduan atau pun asas kenapa TikTok Shop dilarang di Indonesia ialah kerana isu penentuan harga predatori yang berlaku terhadap produk-produk, yang akhirnya memangsakan pengusaha tempatan di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Gotong Royong Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau di Pantai Dalam, di sini pada Sabtu. - Bernama
Artikel Berkaitan: