Usaha perkukuh integriti kakitangan

Program Integrity Hub Training anjuran MBI dengan kerjasama Rasuah Busters akan berlangsung pada 9 Oktober ini. (Gambar kecil: Mudirah)
Program Integrity Hub Training anjuran MBI dengan kerjasama Rasuah Busters akan berlangsung pada 9 Oktober ini. (Gambar kecil: Mudirah)
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) mengambil inisiatif memperkukuhkan integriti dalam kalangan staf dan kakitangan syarikat milikannya menerusi program Integrity Hub Training yang dianjurkan dengan kerjasama Rasuah Busters.

Ketua Jabatan Integriti dan Governans MBI (JIG MBI), Mudirah Muhammad Nor berkata, program usahasama yang akan berlangsung pada 9 Oktober ini buat julung kali itu juga merupakan antara usaha memerangi gejala rasuah yang dilaksanakan secara santai.

Menrutnya, Isnin ini merupakan siri pertama bagi program tersebut dan tiga lagi sesi menyusul.

"Seterusnya program untuk memecah rekod Malaysia bagi penyertaan aktiviti mewarna kanak-kanak pula akan diadakan.

"Aktiviti ini berbeza daripada aktiviti mewarna biasa, di mana JIG MBI telah menyediakan buku aktiviti berbentuk komik bagi intervensi awal kanak-kanak berkaitan integriti," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Integrity Hub Training yang akan berlangsung di Bangunan Darul Ehsan di sini, melibatkan jurulatih berpengalaman iaitu Coachakim yang akan mengendalikan sesi pengenalan kepada integriti, governan dan antirasuah.

Selain itu katanya, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail akan berkongsi mengenai pengukuhan sistem operasi insan, manakala Rasuah Busters akan mengupas topik bagaimana mencipta end game generasi bebas rasuah di samping perkongsian mengenai 'pohon integriti'.

Tambahnya lagi, program itu akan menerapkan nilai-nilai murni dan mengingatkan semula kepada kakitangan supaya melaksanakan tugas dengan penuh berintegriti.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mahu mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan peserta yang terlibat," katanya.

Menyentuh mengenai usahasama MBI dan Rasuah Busters, Mudirah berkata, wujud kelainan yang ditonjolkan oleh Rasuah Busters dalam mengetengahkan isu berkaitan rasuah dan integriti berbanding pihak-pihak yang pernah mereka bekerjasama sebelum ini.

"Jadi insya-ALLAH banyak lagi program kerjasama yang akan dirangka bersama pada tahun hadapan," jelasnya.

Rasuah Busters kini bergerak aktif membina modul latihan mengikut Risiko Pengurusan Integriti sesebuah syarikat.

Pengurus Perhubungan Strategiknya, Wan Normi Hasan berkata, setakat ini beberapa syarikat telah bekerjasama dengan Rasuah Busters termasuk Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad) dan PBLT Sdn Bhd.

"Program ini sangat membantu mewujudkan suasana kerja yang positif dan semangat integriti tinggi dalam kalangan kakitangan selain memberi imej yang baik kepada syarikat," katanya.

Syarikat yang berminat untuk bekerjasama dengan Rasuah Busters boleh menghubungi Wan Normi di talian 019-2802080.