Penganggur jerut leher isteri, berang diberi RM100

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI]Seorang penganggur tergamak menjerut leher dengan tali dan menutup mulut isterinya hanya kerana diberikan RM100 selepas meminta wang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kim Kee di sini pada Rabu.

Lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan berang kerana isterinya tidak memberikan wang seperti yang diminta.

Akibat tidak berpuas hati, suspek cuba membunuh isterinya dengan bertindak sedemikian sehingga wanita berkenaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu berlaku dipercayai akibat selisih faham.

"Suspek kemudian telah melarikan diri apabila mangsa tersedar selepas ditampar oleh suspek. Mangsa kemudiannya telah ke balai polis untuk membuat laporan.

"Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak atas laporan polis dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya memberkas suspek.

Katanya, ujian air kencing suspek adalah negatif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Tambah beliau, suspek kini direman selama lima hari bermula Rabu untuk membantu siasatan.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun dalam proses perceraian.