Peruntukan khas pandemik hadapi kewujudan penyakit X

Penularan penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia. - Gambar hiasan
Penularan penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting sebagai pemantapan kesiapsiagaan negara bagi menghadapi kemungkinan munculnya penyakit X di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, peruntukan khas itu adalah saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Sebagai pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit yang belum diketahui ini, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan oleh WHO," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan dan kerjasama antarabangsa juga dilakukan.

"Selain itu, pendekatan 'One Health' yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin," katanya.

Ujarnya, penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap penyakit X.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya penyakit X berdasarkan pengalaman lalu kementerian dalam menangani penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV," katanya.

Beliau berkata, walaupun kemungkinan berlakunya Penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini," katanya.

Media melaporkan dunia berkemungkinan berdepan ancaman kesihatan baharu yang berupaya menjadi pandemik dikenali sebagai penyakit X.

Penyakit X adalah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018, merujuk kepada sejenis patogen yang tidak diketahui namun ia berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.

Walaupun ciri-ciri penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit ini belum diketahui, pakar-pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.

Berbanding dengan Covid-19 yang kurang menyebabkan kematian, penyakit X dijangka akan mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola.

Penularan penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia.

Kadar penyebaran penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan, ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang.