Geran perniagaan lebih membantu

Bantuan geran perniagaan kepada golongan rentan dan B40 dilihat mampu membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Afzanizam)
Bantuan geran perniagaan kepada golongan rentan dan B40 dilihat mampu membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Afzanizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memberi bantuan geran perniagaan dan meningkatkan literasi kewangan golongan rentan dan B40 supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat pelbagai peluang perniagaan di bawah agensi kerajaan yang berpotensi membantu golongan sasar daripada terus bergantung dengan bantuan kewangan semata-mata.

Menurutnya, Belanjawan 2024 perlu dilaksanakan secara holistik dan dirangka untuk tempoh yang panjang.

“Bantuan wang tunai yang diberikan sememangnya membantu golongan rentan dan B40 untuk tempoh singkat, tetapi ia tidak berupaya bertahan dalam tempoh yang panjang.

“Pihak zakat juga turut menyediakan peluang perniagaan dan kita lihat ada antara mereka yang sudah berjaya.

“Program keusahawanan dan pemberian geran perniagaan boleh diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan, namun adakah mereka cakna berkenaan hal ini?” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar Mohd Afzanizam, terdapat banyak program yang dilaksanakan oleh kerajaan, namun kegagalan komunikasi menyebabkan sesetengah masyarakat terlepas mendapatkan peluang sedia ada.

Jelasnya, keusahawanan merupakan perkara sinonim bagi membantu golongan sasar memperbaiki pendapatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Walaupun begitu, beliau tidak menafikan masalah birokrasi di setiap agensi kerajaan menyukarkan sesetengah pihak mendapatkan bantuan perniagaan atau program kemahiran.

“Kerajaan perlu pastikan setiap bantuan yang diuruskan mengikut tata kelola yang benar kerana kita tidak mahu timbul isu kesilapan dalam memberi bantuan.

“Penyampaian maklumat perlu diselaras supaya golongan berpendapatan rendah tidak mudah ditipu sehingga memberi kesan terhadap kewangan mereka,” ulasnya.

Dalam pada itu, menurut beliau, literasi kewangan juga antara perkara penting bagi membantu golongan sasar dan B40 membuat keputusan kewangan yang bijak.

Jelasnya, kekurangan pengetahuan kewangan menyebabkan sebahagian besar masyarakat menjadi mangsa penipuan wang.

“Jika kita ingin merakyatkan ekonomi kita perlu memberi pendidikan dan menghebahkan peluang yang sedia ada untuk masyarakat memperbaiki keadaan kewangan mereka.

“Kekurangan pengetahuan juga antara faktor orang ramai mudah tertipu sehingga dimanipulasi dan akhirnya tidak dapat memperbaiki keadaan kewangan semasa mereka,” tambah beliau.