Habuan menanti Azeem, Shereen

Khairudin (tengah) menyampaikan sijil kepada pelajar SMK Malim Nawar ketika hadir ke Program Penyerahan 30 Unit Laptop oleh Syarikat Maxis Berhad di SMK Malim Nawar di sini pada Rabu.
Khairudin (tengah) menyampaikan sijil kepada pelajar SMK Malim Nawar ketika hadir ke Program Penyerahan 30 Unit Laptop oleh Syarikat Maxis Berhad di SMK Malim Nawar di sini pada Rabu.
A
A
A

KAMPAR - Dua atlet pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabuoy yang cemerlang di Sukan Asia, Hangzhou, China bakal menerima insentif daripada kerajaan negeri Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pencapaian kedua-dua atlet olahraga kelahiran Perak itu amat membanggakan.

Menurutnya, sememangnya kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri akan menyediakan insentif kepada Muhammad Azeem dan Sheeren.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua atlet kita yang berjaya mendapat pingat gangsa bagi acara 100m dan 400m dalam Sukan Asia. Berkaitan dengan insentif ini, memang pihak Majlis Sukan Negeri memang ada kadar-kadar tertentu untuk pemberian insentif bagi atlet negeri Perak yang berjaya mendapat kejayaan cemerlang.

"Kita sedang usahakan insentif bagi pasukan boling padang, pasukan sepak takraw dan sebagainya, Muhammad Azeem dan Sheeren juga tidak terkecuali menerima insentif daripada pihak Majlis Sukan Negeri dan insya-ALLAH kita akan maklumkan dalam sikit masa lagi," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan 30 Unit Laptop oleh Syarikat Maxis Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di sini pada Rabu.

Sementara itu, Khairudin berkata, usaha kerajaan negeri menghantar atlet berkenaan berkelana ke Amerika Syarikat menampakkan hasil apabila prestasi mereka menampakkan peningkatan ketara.

Menurutnya, kerajaan negeri juga yakin dengan kemampuan Muhammad Azeem yang masih muda untuk terus cemerlang dalam beberapa tahun lagi di pentas antarabangsa.

Muhammad Azeem mencipta sensasi apabila menamatkan kemarau 41 tahun negara bagi memenangi pingat dalam acara 100m di pentas Sukan Asia selepas kali terakhir Datuk Rabuan Pit meraih emas pada tahun 1982.

Artikel Berkaitan:

Bagi ratu trek negara, Shereen pula berjaya menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk meraih sebutir pingat dalam acara olahraga di Sukan Asia, selepas merangkul gangsa acara 400m wanita di Stadium Olimpik Hangzhou pada 30 September lalu.