Peluang penulis seluruh dunia sertai Pertandingan Menulis Cerita 'Jalan Hidayah'

Fiffy Nur Adila
Fiffy Nur Adila
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Bayyinah Institute yang berpangkalan di Dallas, Texas mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Pertandingan Menulis Cerita bertemakan 'Jalan Hidayah' berdasarkan Surah Al-Insan dalam bahasa Inggeris, yang berakhir pada 5 November 2023.

Pertandingan di peringkat global tersebut diadakan sempena World #QuranConvention 2023 bertemakan “Served to be Serve: A Divine Guidance From Surah Al-Insan” di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang, pada 2 Disember ini.

World #QuranConvention mengajak masyarakat untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal agar wujudnya perubahan kerangka fikir dan karakter diri berpandukan al-Quran dan al-Hadis. Pegangan ini merupakan panduan dalam setiap aspek kehidupan sama ada di rumah, tempat kerja, peringkat komuniti, negara mahupun global.

Pengarah Program, Fiffy Nur Adila Mohamad Feroz berkata, Pertandingan Menulis Cerita membuka peluang penulis dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian dan berkongsi bakat mereka dalam penulisan cerita yang digarapkan dengan nilai-nilai al-Quran, khususnya Surah Al-Insan ayat 3.

Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada kempen #QuranHour tahun ini membawa nilai 11 karakter abrar atau orang yang membuat kebaikan. Ia bermula dengan diri sendiri, keluarga, organisasi, seterusnya membentuk negara berbudi dan penyayang.

“Bermula 27 September lalu sehingga kini, sebanyak lima penyertaan dari Indonesia, New Zealand, Jordan, Amerika Syarikat dan Nigeria diterima oleh pihak penganjur bagi Pertandingan Menulis Cerita.

“Penulisan tersebut diharapkan dapat menonjolkan warisan, budaya dan kreativiti negara peserta masing-masing yang menyentuh hati dan minda. Perjalanan penceritaan yang luar biasa dan merentasi sempadan dapat menyatukan ummah melalui keindahan al-Quran.

“Cerita yang dipilih akan dimuatkan dalam kompilasi e-book. Pemenang akan menerima e-book tersebut dan pengiktirafan bagi sumbangan mereka. Hanya seorang pemenang yang dipilih mendapat tajaan untuk menyertai ke World #QuranConvention.

Artikel Berkaitan:

“Peserta boleh menghantar penulisan cerita tidak lebih 1000 perkataan di sekitar tema seseorang itu kembali ke jalan ALLAH. Sebagai panduan, sila tonton klip video pendek di YouTube mengenai Ustaz Nouman Ali Khan bertajuk “Relax, Allah Knows Exactly What You Need”.

Pertandingan ini terbuka kepada penulis dari pelbagai latar belakang dan pengalaman di atas yang berusia 18 tahun. Peserta di bawah umur 16 tahun perlu dapatkan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga.

Hasil karya perlu mematuhi tema dalam mempromosikan naratif Muslim yang positif. Kandungan yang diciplak, menyinggung perasaan atau tidak sesuai akan dibatalkan kelayakannya. Semua karya yang dihantar mestilah asli dan tidak diterbitkan sebelum ini dalam sebarang bentuk, memastikan integriti dan keunikan kandungan untuk tujuan pertandingan.

Fiffy Nur Adila berharap lebih banyak penyertaan dari seluruh negara pada pertandingan yang julung kali diadakan dan mampu memberi inspirasi untuk menjadi insan abrar.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Pertandingan Penulisan Cerita sempena World #QuranConvention, sila layari di https://www.worldquranconvention.com/script-writing-competition/