Kes denggi dijangka melonjak naik hujung tahun ini

Kes demam denggi dijangka naik mendadak mulai hujung tahun ini berdasarkan trend kes sejak 10 tahun lepas. - Gambar hiasan
Kes demam denggi dijangka naik mendadak mulai hujung tahun ini berdasarkan trend kes sejak 10 tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes demam denggi dijangka naik mendadak mulai hujung tahun ini berdasarkan trend kes sejak 10 tahun lepas, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Wan Ming Keong.

Katanya, corak ini dilihat berada di kemuncak setiap empat atau lima tahun dan dipercayai disebabkan oleh perubahan serotaip yang dominan di sesuatu kawasan.

"Kemuncak terakhir yang dilaporkan ialah pada 2019.

Sebab itu kita jangka hujung tahun ini atau pada tahun depan kes akan ke kemuncak lagi.

Salah satu faktor penyumbang ialah perubahan serotaip virus.

"Denggi ada empat serotaip (DENV-1 hingga DENV-4).

Setiap kali serotaip yang dominan di sesuatu kawasan bertukar ke serotaip lain, kes akan meningkat kerana sistem imun penduduk setempat terhadap serotaip baru masih rendah, menyebabkan mereka senang dijangkiti,” beliau menerangkan kepada Bernama dalam satu temubual.

Walau bagaimanapun, pesakit yang sembuh daripada setiap serotaip akan mendapat perlindungan seumur hidup bagi serotaip tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini menyebabkan jumlah maksimum seseorang boleh dijangkiti denggi sepanjang hidupnya hanya empat kali.

Namun, katanya, pesakit yang terkena jangkitan denggi buat kali kedua akan mengalami komplikasi lebih serius.

Menurutnya lagi, pada tahun lepas, tiada perubahan serotaip daripada DENV-3 ke DENV-4 dilaporkan tetapi situasi itu telah berubah pada tahun ini.

"Apa yang kita perhatikan pada tahun ini ialah DENV-4 dah ubah kepada DENV-2.

Selagi ada pertukaran serotaip (dominan), kes akan berterusan dan meningkat,” kata Dr Wan yang berkhidmat di Bahagian Kawalan Penyakit, KKM.

Katanya punca lain kes denggi meningkat ialah kerana hanya satu dalam empat pesakit denggi bergejala manakala pesakit lain tidak mempunyai gejala.

"Bagi yang tidak bergejala ini, mereka tidak akan mendapatkan rawatan kerana tidak tahu mereka sudah dijangkiti.

"Jadi bila mereka bergerak ke kawasan baru, nyamuk yang tidak membawa virus itu akan menghisap darah pesakit yang sudah dijangkit denggi tersebut.

"Seterusnya virus yang dihisap akan menular di kawasan baru apabila nyamuk aedes menggigit mangsa lain,” jelasnya.

Kumulatif kes yang dilaporkan dari minggu epidemiologi ke-36 adalah sebanyak 82,485 kes. Ini peningkatan sebanyak 43,297 kes atau 110 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Manakala kumulatif kematian pula setakat ini adalah sebanyak 59 kematian berbanding 24 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam memastikan keadaan terkawal, KKM sedang mempertingkatkan kebolehupayaan pejabat kesihatan daerah atau pejabat kesihatan negeri dalam mengawal jangkitan ini.

"Bagi semua daerah yang dilanda wabak denggi, kami akan jalankan aktiviti peniaian risiko dari segi persekitaran dan juga entomologi iaitu indeks-indeks berkaitan.

"Berdasarkan ini, kami akan ambil tindakan iaitu aktiviti pemusnahan tempat pembiakan atau source reduction,” jelasnya.

Sementara itu, KKM juga melakukan sesi libat urus bersama agensi berkepentingan untuk menyokong aktiviti pengawalan dan percegahan berkaitan denggi.

"Salah satu contoh adalah gotong-royong di peringkat kebangsaan iaitu Gotong Royong Mega Perangi Aedes yang dilaksanakan dua kali setahun,” katanya.

KKM ini juga membuat pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di 28 lokaliti pada tujuh negeri bagi meningkatkan usaha pencegahan dan kawalan denggi. - Bernama