MOSTI salur dana RM33 juta untuk 13 projek penyelidikan vaksin

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyalurkan dana berjumlah RM33 juta bagi pelaksanaan 13 projek penyelidikan vaksin sejak 2021 hingga bulan September lepas.

Dalam kenyataan hari ini MOSTI berkata, projek penyelidikan vaksin yang menerima pendanaan itu melibatkan sembilan projek di bawah dana penyelidikan strategik dan dua projek di bawah MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF).

Turut menerima dana adalah dua projek di bawah Dana Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara (DPVN), menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini sempena mesyuarat Fraterniti Vaksin yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada 25 September lepas.

Mesyuarat yang diadakan secara berkala iaitu setiap enam bulan sekali itu dihadiri pakar penyelidik, pakar dalam kajian klinikal dan pra-klinikal dan pemain industri farmaseutikal yang terlibat di dalam ekosistem pembuatan, pembangunan dan penyelidikan.

Menurut MOSTI, mesyuarat Fraterniti Vaksin dengan tujuan berkongsi pandangan, komen serta mendengar cadangan khusus berkenaan pembangunan vaksin di Malaysia dalam meningkatkan keupayaan negara sebagai pengeluar vaksin manusia berdasarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN).

PPVN dilancarkan pada 1 November 2021 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun dengan MOSTI dan Kementerian Kesihatan (KKM) diberi amanah menerajui pelan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: