'Ada riak perubahan sokongan kepada PN' - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

BENTONG - Perikatan Nasional (PN) mendakwa percaturan politik pihak lawan tidak disukai warga Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) membawa perubahan sokongan kepada parti itu.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan, ini kerana sambutan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terhadap parti gabungan itu amat berbeza berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Menurutnya, sambutan terhadap calon PN, Kasim Samar begitu menggalakkan, selain terdapat sokongan daripada kumpulan yang agak baharu.

"Kalau ikutkan mereka bukan pengundi baharu tetapi sudah mengundi pada PRU lalu, Tapi kali ini ada riak menunjukkan mereka dulunya tidak memberi sokongan kepada PN, mula menampakkan kemungkinan mereka atau kesediaan mereka untuk menyokong PN.

“Mereka ini (daripada) beberapa kumpulan dan tidak manis hendak sebut dari mana, tetapi sebahagian daripada mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap percaturan politik yang berlebihan,” katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi, di sini.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, lebih 50 peratus daripada pengundi muda berusia antara 18 hingga 40 tahun dilihat sudah menyokong PN.

Tambahnya, trend dalam PRU15, Pilihan Raya Negeri enam negeri dan PRK di Simpang Jeram serta Pulai menunjukkan bahawa sokongan pengundi muda semakin hari semakin meningkat kepada PN.

"Jadi faktor peningkatan sokongan anak muda dan ada riak perubahan pengundi yang dulunya tidak menyokong kita di Pelangai (PRU15) itu adalah kunci yang menentukan kemenangan kami pada 7 Oktober ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab mengenai sokongan pengundi Felda kepada PN, Saifuddin berkata parti itu mempertaruhkan rekod cemerlang Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Felda ketika menjadi perdana menteri sebagai pemangkin sokongan.