Malaysia perlu agresif tarik pelancong

Pelancong China gemar memilih Malaysia sebagai antara destinasi percutian pilihan.
Pelancong China gemar memilih Malaysia sebagai antara destinasi percutian pilihan.
A
A
A

PERTIMBANGAN kerajaan untuk mengecualikan visa kepada pelancong China adalah satu langkah yang baik bagi merancakkan sektor pelancongan negara yang pada masa ini memerlukan satu suntikan besar untuk pulih.

Pelancong dari tanah besar itu juga mempunyai kuasa beli yang baik tatkala melancong ke negara ini kerana mereka tidak lokek untuk berbelanja sebelum pulang ke negara mereka.

Dengan kehadiran mereka, hotel-hotel di negara kita juga akan kembali bernafas seterusnya menjana pendapatan kepada peniaga-peniaga tempatan.

Malaysia juga perlu agresif dalam menarik pelancong kerana negara kita pada masa kini berdepan dengan saingan yang besar daripada negara jiran. Misalnya Thailand dilihat begitu proaktif dalam menarik pelancong untuk datang ke negara mereka.

Thailand juga telah mengumumkan pengecualian visa untuk pelancong dari China dalam tempoh 25 September hingga 29 Februari tahun depan bagi menarik pelawat dari negara itu, seterusnya memulihkan industri pelancongan mereka.

Dengan pengecualian itu, Thailand dijangka memperoleh hasil pendapatan sehingga 140 bilion baht (100 baht = RM13.08) dalam tempoh lima bulan.

Selain Thailand, sebuah lagi negara Asia Tenggara iaitu Kemboja dilapor sedang mempertimbangkan pengecualian visa untuk pelancong dari China.

Melihat kepada perkembangan negara-negara sekeliling kita, Malaysia tidak boleh berlengah dalam usaha untuk mencari alternatif bagi menggalakkan orang luar berbelanja di negara kita.

Artikel Berkaitan:

Namun dalam keghairahan menarik pelancong, Malaysia perlulah memberi tumpuan dalam aspek kawalan sempadan kerana kita tidak mahu negara kita menjadi lubuk kebanjiran pelancong haram, atau mungkin membawa masuk pekerja-pekerja haram dari China atas tiket pelancong.

Pemeriksaan di lokasi tumpuan perlu dilakukan dengan lebih bersepadu supaya yang masuk ke Malaysia adalah yang mempunyai kebenaran yang sah.

Ini kerana, pelancong haram ini bukan sahaja mendatangkan banyak kerugian kepada negara, tetapi menimbulkan banyak masalah lain yang boleh menjejaskan fokus Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi.

Malah, ia akan menyebabkan penduduk tempatan tidak selesa di negara sendiri.