MOTAC cipta rekod MBOR

Anwar (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Festival Budaya Putrajaya 2023 sambil disaksikan King Sing (dua dari kiri).
Anwar (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Festival Budaya Putrajaya 2023 sambil disaksikan King Sing (dua dari kiri).
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Festival Budaya Putrajaya 2023 mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran Konsert Mega Dikir Barat dan Paluan Rebana berskala antarabangsa pertama diiringi Orkestra Tradisional Malaysia pada Sabtu.

Lima segmen persembahan dipertontonkan kepada orang ramai sempena Malam Gala di Dataran Putrajaya melibatkan paluan buka panggung dan bertabuh, persembahan lagu Jogho, battle tukang karut, lagu rampaian serta dikir kreasi yang diiringi 230 pemain rebana dan 200 orang awak-awak dikir barat.

Festival berskala mega tersebut merupakan satu daripada usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mempromosikan produk pelancongan serta keunikan program yang mampu menarik tumpuan pelancong.

Festival yang bertemakan Perpaduan Melalui Seni Budaya itu bertujuan mengukuhkan semangat untuk hidup dalam harmoni dan perpaduan melalui seni, budaya dan warisan.

Sementara Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam ucapannya berkata, aspek kebudayaan dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang bangsa dan agama, selain menarik minat pelancong untuk datang ke negara ini.

Wakil MBOR menyerahkan sijil pengiktirafan kepada King Sing (dua dari kiri) dengan disaksikan oleh Anwar (tiga dari kiri).
Wakil MBOR menyerahkan sijil pengiktirafan kepada King Sing (dua dari kiri) dengan disaksikan oleh Anwar (tiga dari kiri).

“Perpaduan dapat dicapai melalui kebudayaan dan seni seperti tarian serta muzik yang memerlukan kerjasama pasukan.

“Tanpa kerja berpasukan, sesebuah tarian atau alunan muzik itu tidak dapat dipersembahkan dengan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, MOTAC yang berperanan memperkenalkan kebudayaan dan kesenian Malaysia akan memastikan inisiatif serta strategi berterusan bagi mempromosikan destinasi pelancongan, seni dan budaya yang menarik.

Ini kerana ujarnya, Malaysia mempunyai kelebihan dengan rakyat berbilang bangsa dan kepelbagaian kebudayaan, sekali gus menjadikan negara ini antara destinasi pelancongan antarabangsa yang popular.

MOTAC perlu memainkan peranan penting dalam memperkasakan aktiviti seni dan budaya di Malaysia, seiring kemajuan ekonomi negara.


Persembahan yang diiringi 230 pemain rebana dan 200 awak-awak dikir barat memeriahkan Festival Budaya Putrajaya 2023 pada Sabtu.
Persembahan yang diiringi 230 pemain rebana dan 200 awak-awak dikir barat memeriahkan Festival Budaya Putrajaya 2023 pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kementerian itu perlu menganjurkan program yang boleh memartabatkan aktiviti seni, lukisan, puisi, filem dan teater, pementasan serta tarian.

“Tidak banyak negara di dunia boleh mempamerkan seni budaya dengan Melayu sebagai terasnya, suku kaum yang lain dari Perlis sampai Sabah.

“Masyarakat berbilang kaum di negara ini juga perlu menjadikan perbezaan sebagai kekuatan, bukannya sebagai faktor persengketaan.

“Saya percaya rakyat waras yang cintakan negara menghormati nilai kemanusiaan. Mereka akan melihat perbezaan kaum, suku kaum dan budaya sebagai kekuatan kerana kepelbagaian membina kehebatan Malaysia tercinta,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Budaya Putrajaya 2023 pada Sabtu.

Anwar turut menyifatkan sektor pelancongan sebagai bidang yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Justeru Menteri Kewangan itu memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memberikan tumpuan khusus dari segi peruntukan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Anwar berucap pada perasmian Festival Budaya Putrajaya 2023.
Anwar berucap pada perasmian Festival Budaya Putrajaya 2023.

“MOTAC harus percaya tentunya kerajaan akan beri pemusatan terhadap industri pelancongan termasuk pemerkasaan industri seni dan budaya.

“Bagi mencapai hasrat memperkasakan aktiviti itu, saya cadangkan Festival Budaya Putrajaya dijadikan acara tahunan dalam kalendar MOTAC,” ujarnya.