Peniaga kian terbeban kos operasi akibat kuasa beli menurun

Gambar kecil dari kiri: Mashitah, Lai Yee, dan Mohamed Mathar
Gambar kecil dari kiri: Mashitah, Lai Yee, dan Mohamed Mathar
A
A
A

IPOH - Peniaga yang memiliki atau menyewa premis perniagaan meminta kerajaan menyediakan pakej rangsangan dalam Belanjawan 2024 bagi membantu mereka berdepan kos operasi tinggi berikutan kuasa beli pengguna semakin menurun.

Peniaga cermin mata, Mashitah Mohd Nor Manoharan, 28, berkata, dana tambahan perlu disalurkan bagi membolehkan peniaga meneruskan operasi selain membeli kelengkapan.

“Perniagaan keluarga yang kami usahakan sejak 20 tahun lalu masih bergelut untuk kekal beroperasi, tambahan sewaan premis dijangka naik.

“Banyak aset seperti mesin terpaksa dijual bagi menampung kos operasi. Kuasa membeli dalam kalangan pelanggan juga menurun menyebabkan corak perbelanjaan turut berubah.

“Hendak dapat pelanggan baru memang susah dan ada yang datang kedai memilih untuk beli bingkai sahaja dan rela memakai cermin mata lama,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad, di sini, baru-baru ini.

Bagi pemilik restoran, Tan Lai Yee, 38, mengharapkan kerajaan mengekalkan kadar cukai pendapatan sedia ada.

“Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, tambahan pula harga barangan semakin meningkat, saya terpaksa ubah strategi perniagaan dengan menyewa sebuah rumah kerana harganya lebih rendah.

“Sewaan sebuah restoran agak mahal, jadi kita pilih rumah tinggal untuk dibaik pulih dan dijadikan restoran. Banyak wang dihabiskan membina restoran dan jika kerajaan naikkan cukai, ia pasti membebankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peniaga nasi kandar, Mohamed Mathar Ali Ahmad Jalaluddin, 41, berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan perhatian khusus.

“Inisiatif sewajarnya perlu selain memberi kelonggaran dalam pemberian pinjaman kepada peniaga kecil.

“Cukai mahupun pengenalan sebarang caj baru perlu dipertimbangkan supaya kami terus 'bernafas' selain terpaksa membayar sewa.

“Kerajaan juga wajar menyelaras gaji sektor swasta supaya rakyat boleh berbelanja dengan baik dan pada masa sama membantu kami sebagai peniaga,” katanya.