Sekolah perlu laksana audit keselamatan kemudahan, peralatan

Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Mohd Sadek Mustafa
Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Mohd Sadek Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM - Semua sekolah perlu melaksanakan audit keselamatan berhubung keadaan infrastruktur atau kemudahan fizikal termasuk peralatan sukan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini menimpa murid.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa berkata, langkah itu penting bagi mengenal pasti mana-mana peralatan atau fasiliti yang tidak lagi selamat digunakan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berhubung perkara tersebut termasuk membuat audit setiap tahun di sekolah-sekolah.

Beliau berkata, sekiranya ada kemudahan atau peralatan yang rosak guru yang bertanggungjawab perlu mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

"Jadi, mana-mana sekolah perlu membuat audit keselamatan dan sekiranya mendapati ada peralatan yang rosak atau tidak selamat digunakan segera mengangkat permohonan kepada KPM.

“Kita sedia maklum, setiap sekolah ada membuat pertukaran peralatan setiap tahun sama juga dengan kemudahan asas lain untuk murid dan guru.

“Jadi, peralatan atau kemudahan yang rosak itu perlu disimpan di tempat tertentu atau khas sebagai makluman ia tidak lagi selamat untuk digunakan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Mohd Sadek, pihak sekolah juga perlu membuat label atau amaran di kawasan kemudahan yang tidak selamat atau peralatan rosak bagi memberi peringatan kepada murid untuk menjauhi kawasan terbut.

“Saya rasa semua guru telah maklum mengenai perkara ini. Kita labelkan peralatan yang tidak selamat dan letak juga kertas amaran kepada murid berhubung larangan tertentu supaya mereka lebih berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh tidak memanjat kawasan tertentu atau kongsikan kaedah yang betul menggunakan kemudahan atau peralatan ketika menjalani aktiviti di luar bilik darjah,” ujarnya.

Selain itu, katanya, guru juga perlu memastikan murid-murid yang menjalankan aktiviti sukan atau kokurikulum dipantau sebaiknya.

Namun beliau berkata, insiden sedemikian kebiasaannya berlaku di luar kawalan dan menjadi tanggungjawab bersama memastikan keselamatan dan kesihatan murid dan guru berada pada tahap terbaik.