Perjuangan Malaysia terhenti di separuh akhir Badminton Campuran Remaja Dunia

Beregu campuran negara, Low Han Chen-Chan Wen Tse.
Beregu campuran negara, Low Han Chen-Chan Wen Tse.
A
A
A

HASRAT Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat tidak kesampaian, apabila disekat juara 13 kali, China 0-3 dalam saingan separuh akhir pada Jumaat.

Ini sekali gus menyaksikan Malaysia membawa pulang pingat gangsa buat kali keempat, selepas edisi 2006, 2008 dan 2010.

Terdahulu pada aksi yang berlangsung di The Podium, skuad remaja bermula dengan langkah kiri apabila beregu campuran negara Low Han Chen-Chan Wen Tse tewas 11-21, 16-21, kepada Liao Pin Yi-Zhang Jia Han dalam masa 27 minit.

Pemain perseorangan lelaki Eogene Ewe yang diharapkan dapat mengembalikan sinar buat kem badminton negara, juga akur dengan kehebatan Hu Zhe An apabila ditumpaskan menerusi permainan straight set 17-21 dan 14-21.

Aksi yang diteruskan pemain perseorangan wanita negara Siti Zulaikha Muhammad Azmi, terus hampa apabila pemain berusia 17 tahun itu, ditundukkan Xu Wen Jing, 17-21, 18-21, dalam masa 39 minit.

Susulan kemenangan itu, China akan bertemu Indonesia pada aksi final lewat hari ini.

Bagaimanapun keputusan menduduki tempat ketiga itu masih boleh dibanggakan selepas memperbaiki kedudukan tahun lepas yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan berpasukan campuran di tempat kesembilan.

Malaysia pernah menjuarai kejohanan itu pada 2011 selain naib juara pada edisi 2009, 2016, dan 2017.

Artikel Berkaitan:

Skuad remaja negara seterusnya akan fokus kepada acara individu di kejohanan yang sama, yang bermula Isnin (2 Oktober). - Bernama