50,000 tempat di TVET khusus untuk anak Felda - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) ketika merasmikan Karnival Kerjaya Myfuture Jobs Bersama Hawa Malaysia di Felda Chemomoi, Bentong pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) ketika merasmikan Karnival Kerjaya Myfuture Jobs Bersama Hawa Malaysia di Felda Chemomoi, Bentong pada Sabtu.
A
A
A

BENTONG - Kerajaan menawarkan sebanyak 50,000 tempat di institusi-institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk generasi Felda seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat 1,334 institusi TVET seluruh negara melibatkan 12 kementerian yang mempunyai kursus sesuai untuk memenuhi kehendak tenaga kerja semasa.

Menurutnya, inisiatif tersebut wajar dimanfaatkan oleh generasi Felda terdiri daripada generasi ketiga hingga kelima untuk keperluan tenaga kerja akan datang.

"Saya ingin umumkan 50,000 tempat untuk anak-anak Felda daripada generasi ketiga hingga kelima untuk memasuki institusi TVET.

"Kursus-kursus yang akan disediakan ialah kursus yang dapat disesuaikan dengan kerja guna tenaga di negara kita...tentunya kursus yang diadakan tidak lagi kursus konvensional.

"Saya telah bincang dengan Pengerusi Mara untuk melaksanakan program-program baharu untuk disesuaikan dengan kehendak semasa demi menyediakan peluang pekerjaan yang begitu banyak," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Myfuture Jobs Bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Hawa) Malaysia di Felda Chemomoi di sini, pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, disampaikan biasiswa bernilai RM500,000 daripada King University College untuk anak-anak Felda melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

Sementara itu, menerusi karnival tersebut, lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan untuk penduduk Felda Chemomoi dan sekitar tanah rancangan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, program tersebut memperluaskan platform kepada masyarakat Felda mendapatkan kebolehpasaran, 'profiling', peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan sekali gus mengatasi pengangguran.

"Majikan yang mengambil calon pekerja dalam kalangan masyarakat Felda boleh memanfaatkan rangkaian program disediakan menerusi Insentif Kerjaya Madani 2023, termasuk menerima sehingga RM1,800 untuk tempoh tiga bulan bagi seorang pekerja yang digajikan," katanya.