Kementerian Kewangan mulakan perbincangan serah semula aset TH - PM

MOF mulakan perbincangan serah semula aset TH - PM
MOF mulakan perbincangan serah semula aset TH - PM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan pada 2018, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata, pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, serta pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu.

"Setelah meneliti perkembangan dan bincang dengan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar, saya telah beritahu daripada awal bahawa sebaik sahaja TH diurus dengan baik, maka MOF akan memulakan perbincangan supaya menyerahkan semua aset yang dipegang SPV.

"Ini juga mematikan fitnah amat tidak bertanggungjawab pada Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) dan kerajaan ketika itu seolah-olah memindahkannya pada kelompok bukan Islam.

Tidak, saya lihat rekodnya, dan di MOF, ia masih dalam pegangan MOF, sekarang saya pegang amanahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH pada Jumaat yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada Mac 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika itu berkata, langkah memindahkan aset RM19.9 bilion kepada SPV berjaya 'menutup lubang' jurang antara aset dan liabiliti yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

Perdana Menteri berkata, selagi beliau diberi amanah memegang tanggungjawab menjaga negara, beliau tidak akan bertolak ansur dalam segala percubaan untuk merosakkan agensi mahu pun syarikat milik negara bagi mengaut keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu dalam soal tatakelola, kamu kecamlah saya pun.

Selagi saya ada amanah ini, saya tidak akan tolak ansur untuk pastikan negara ini diurus dengan baik dan halang percubaan untuk merosakkan agensi ini kerana kegelojohan dan ketamakan beberapa orang.

"Dan saya beri jaminan sebaik sahaja dibaiki maka kita serahkan semula (aset), tapi kerajaan tidak boleh tanggung kerugian kerana kecuaian-kecuaian ini.

Kita lihat contohnya TH, sebaik ada tatakekola baik, dengan cepat ia dipulihkan.

Alhamdulillah, sebab itu saya ucapkan tahniah kepada pengurusan TH," katanya.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan juga akan meminda akta TH bagi bagi memenuhi maksud Maqasid Syariah, bukan sahaja dari aspek pengurusan kecekapan, tapi bagi membolehkannya berfungsi memberikan penghayatan kepada pengurusan ibadah haji.

Pada sidang media selepas itu, Perdana Menteri berkata, rundingan berkaitan pemindahan semula aset berkenaan akan melibatkan kesemua aset yang telah dipegang SPV sebelum ini, dan penyerahannya akan dilakukan secara berperingkat.

"Keputusan ini (penyerahan semula aset) dengan sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah bertahun lamanya, berbakul-bakul fitnah, kata aset ini dijual," katanya. - Bernama