Azmin bidas Takiyuddin tidak bertanggungjawab

Majlis Iftar Ramadan Risda 2019 bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat Risda Kuala Lumpur di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Majlis Iftar Ramadan Risda 2019 bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat Risda Kuala Lumpur di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan status Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri adalah tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana pertuduhan terhadap Anwar sebelum ini adalah berniat politik sebelum membawa kepada pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

"Kita mungkin mempunyai pandangan politik yang berbeza. Tapi kita harus berpegang kepada fakta dan kenyataan bahawa kemelut ini telah diselesaikan dengan cara baik demi kepentingan negara.

"Sebab itulah Yang di-Pertuan Agong telah beri perkenan untuk mengampunkan Anwar. Malah, Anwar juga telah mengambil sikap bertanggungjawab apabila bersedia menjalin kerjasama dan muafakat dengan semua pihak demi kepentingan negara dan umat keseluruhannya," katanya kepada media di majlis iftar anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini hari ini.

Takiyuddin sebelum ini ketika berkempen di PRK Sandakan telah mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Mohamed Azmin juga secara sinis mengingatkan semua pihak agar lebih menjaga adab di bulan Ramadan ini.

"Saya kira dalam bulan Ramadan ini eloklah kita menjaga adab, bersopan dan yang penting memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan kita," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin enggan campur tangan dalam isu pendedahan 'kartel dedak' Pas yang turut mengaitkan namanya.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan ahli Pas. Saya tak terlibat dengan apa berlaku dalam Pas dan saya kira itu masalah dalaman mereka yang perlu diselesaikan. Hari ini saya lihat kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa beliau tak beri restu.

"Jadi, kalau ayah tak beri restu kepada anak, saya tak fahamlah," katanya.

Menantu Abdul Hadi, Zaharudin Muhammad sebelum ini membuat pendedahan terdapat 'kartel dedak' dalam kalangan pemimpin Pas.

Beliau mendakwa salah seorang pemimpin 'kartel dedak' itu turut rapat dengan Mohamed Azmin.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar enggan ulas isu jawatan PM

Beri keterangan hanya kepada polis, kata Takiyuddin

Abdul Hadi nafi restu menantu dedah 'kartel dedak'