Skuasy wanita bakal bertemu Korea Selatan di separuh akhir

[DIKEMAS KINI] PASUKAN skuasy wanita negara, yang menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa kalah, akan berdepan Korea Selatan dalam separuh akhir acara berpasukan esok.
Malaysia yang meraih gangsa pada Sukan Asia yang lepas, mengungguli Kumpulan B selepas menewaskan India 3-0 dalam perlawanan kumpulan terakhir di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou di sini, pada Khamis.
Pemenang perak acara perseorangan wanita edisi temasya yang lepas, S.Sivasangari memberikan permulaan yang baik buat Malaysia apabila menundukkan Joshna Chinappa 11-6, 11-2, 11-8.
Bagaimanapun, pemain nombor satu kebangsaan Aifa Azman terpaksa berdepan tentangan hebat daripada Tanvi Khanna sebelum mencatatkan 9-11, 11-1, 7-11, 13-11, 11-5 selepas 43 minit, manakala Rachel Arnold menamatkan saingan dengan mengetepikan pemain remaja 15 tahun Anahat Singh 11-7, 11-7, 14-12.