Johari lawat syarikat teknologi,pertanian, akhiri lawatan ke China

Johari (tiga dari kiri) mengakhiri lawatan rasmi ke Beijing, China pada Rabu selepas dibawa melawat dua syarikat besar berkaitan teknologi dan pertanian di Republik itu. - Foto Bernama
Johari (tiga dari kiri) mengakhiri lawatan rasmi ke Beijing, China pada Rabu selepas dibawa melawat dua syarikat besar berkaitan teknologi dan pertanian di Republik itu. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengakhiri lawatan rasmi ke Beijing, China pada Rabu selepas dibawa melawat dua syarikat besar berkaitan teknologi dan pertanian di republik itu.

Johari dan delegasi Malaysia melawat ke syarikat makanan dan pertanian terbesar di China iaitu COFCO Corporation (COFCO) dan mengadakan pertemuan dengan Pengerusinya Lyu Jun dan Presiden Luan Richeng.

Dalam pertemuan itu, Johari menyatakan hasrat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan pertanian negara terutama dalam nisbah tanaman kepada hasil melalui kerjasama pemindahan teknologi China seperti COFCO.

Beliau berkata, Malaysia ingin mempelajari amalan terbaik dari China menerusi syarikat COFCO dalam bidang pertanian sambil meningkatkan hubungan perdagangan dua negara itu.

"Malaysia juga ingin meluaskan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam perdagangan minyak sawit selain mengukuhkan kedudukan dan penguasaan pasaran Malaysia di China melalui pertukaran amalan terbaik.

"Ini juga pastinya akan memberi manfaat yang besar kepada pemain-pemain industri minyak sawit mikro, kecil dan sederhana di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Johari berkata, Malaysia juga sedang mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam mempelbagaikan jenis minyak sawit dan minyak isirung sawit secara mampan agar perdagangan komoditi dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk China kekal kukuh.

Sementara itu, Johari dan delegasi turut melawat ibu pejabat syarikat peneraju teknologi robot pertanian AlForceTech Technology Co., Ltd yang menyediakan jentera pintar untuk pertanian.

Artikel Berkaitan:

Johari menyaksikan demonstrasi robot pintar penuai hasil tanaman yang dilihat berpotensi untuk dibawa masuk ke Malaysia, sekali gus meningkatkan keberhasilan pertanian tempatan.

Beliau juga menyatakan hasrat agar Malaysia menerusi syarikat dan petani tempatan berkolaborasi dengan syarikat berkenaan menerusi pengaplikasian jentera pintar dan robot ke arah pertanian pintar dan moden.

Johari mengetuai delegasi Parlimen Malaysia mengadakan lawatan rasmi ke Beijing bermula 23 September lepas atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China, Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu di Parlimen Malaysia pada Mei.

Delegasi itu disertai Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yeng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, Datuk Awang Hashim dan Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), Chiew Choon Man. - Bernama