PRK Pelangai: Calon Bebas santuni pengundi ziarah rumah ke rumah

Haslihelmy (tengah) ditemani bapanya, Zulhasni (kiri) menziarahi salah seorang kenalan rapat keluarganya, Mohamad Ganti, 82, di Felda Chemomoi, Bentong pada Rabu.
Haslihelmy (tengah) ditemani bapanya, Zulhasni (kiri) menziarahi salah seorang kenalan rapat keluarganya, Mohamad Ganti, 82, di Felda Chemomoi, Bentong pada Rabu.
A
A
A

BENTONG - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli memilih pendekatan ziarah kasih dengan menyantuni pengundi dari rumah ke rumah sepanjang berkempen.

Menurutnya, pendekatan sentuhan peribadi itu dirasakan lebih berkesan bagi calon Bebas berbanding ceramah dan perang poster.

"Sepanjang tempoh lima hari berkempen ini, kira-kira 45 peratus pengundi telah ditemui.

"Allhamdulillah, sambutan pengundi yang ditemui amat memberangsangkan apabila ada yang menyatakan sokongan sama ada secara terbuka atau senyap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan ziarah kasih salah seorang kenalan keluarga di Felda Chemomoi di sini pada Rabu.

Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) berkata, DUN Pelangai terutama Felda Chemomoi tidak asing baginya.

"Di sini tempat saya bermain semasa kecil dan ada ahli keluarga yang tinggal di sini cukup dikenali penduduk terutama bapa saudara, Allahyarham Jamil Abd Rahman yang merupakan ketua peneroka pertama di Felda Chemomoi ini.

"Bagaimanapun, saya tidak menumpang populariti keluarga sebaliknya bersandarkan kepada agenda dan perjuangan sendiri terutama dalam mengangkat suara anak muda di DUN Pelangai ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berbaki beberapa hari lagi untuk berkempen, tumpuan akan diberikan kepada tiga kawasan Felda dan lapan kampung tradisional.

"Insya-ALLAH saya cuba mendekati seramai mungkin pengundi dengan bantuan ayah, Zulhasni Abd Rahman sebagai pengurus kempen," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang saingan pencabar dari BN, Datuk Amizar Abu Adam dan Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, dia mengakui kempen dua calon itu cukup hebat dibantu pemimpin parti di peringkat negeri dan Pusat.

"Saya tidak gentar sebaliknya melalui tempoh berkempen ini secara profesional dan menghormati calon lain," katanya.

Menyentuh tindakan UMNO atas keputusannya bertanding bebas, Haslihelmy mengakui telah membuat semakan melalui UMNO Bentong dan mendapati keahliannya telah dilucutkan.

"Bukan saya seorang tetapi beberapa nama termasuk bapa, adik dan penyokong serta pencadang pada hari penamaan calon baru-baru ini," jelasnya.