McDonald’s lapor polis isu pelanggan dikenakan caj sos cili peket

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - McDonald’s Malaysia membuat laporan polis berhubung kejadian pekerja mengenakan caj sos cili peket kepada pelanggan yang tular baru-baru ini.

Menurut McDonald’s Malaysia, hasil siasatan dalaman dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat kesilapan awal di pihaknya yang memberikan jumlah sos cili tidak mencukupi.

Bagaimanapun, pekerja tersebut kemudiannya menyediakan peket sos cili tambahan dengan segera apabila diminta oleh pelanggan.

“Ketika itu, pelanggan menjadi marah dan agresif terhadap pekerja kami. Pelanggan berkeras untuk membayar 10 peket sos cili tambahan dan mendesak mengeluarkan resit pembelian ini.

“Walaupun pekerja kami cuba menjelaskan bahawa sos cili disediakan secara percuma, pelanggan berkenaan tetap berkeras untuk dikenakan bayaran.

“Kami kecewa dengan tindakan pelanggan itu yang bukan sahaja agresif tetapi juga menyiarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian ini di media sosial. Laporan polis dibuat untuk memastikan keselamatan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, tular di Facebook, McDonald’s mengenakan caj RM10.60 untuk 10 peket sos cili di sebuah restorannya di Ayer Keroh, Melaka.

Tambah McDonald’s Malaysia, mereka menawarkan kepada semua pelanggannya sos cili tanpa sebarang kos tambahan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga memandang tinggi kru sebagai barisan hadapan yang konsisten berusaha memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia pada setiap masa.

“Kebajikan dan kesejahteraan mereka akan sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujarnya.