Kastam rampas 1.86 juta batang rokok seludup

Joo Kai (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas Kastam Kelantan dalam serbuan di Taman Wira Perdana, Gua Musang, pada 17 September lalu.
Joo Kai (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas Kastam Kelantan dalam serbuan di Taman Wira Perdana, Gua Musang, pada 17 September lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kelantan merampas 1.86 juta batang rokok seludup dalam serbuan di Taman Wira Perdana, Gua Musang pada 17 September lalu.

Rampasan jam 4 petang itu dilakukan selepas menahan sebuah lori jenis Nissan semasa Ops Mekong Dragon V dan Ops Irene V.

Pemangku Pengarah Kastam Kelantan, Koh Joo Kai berkata, rokok bernilai RM204,600 dengan anggaran cukai sebanyak RM1.25 juta itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

"Rokok-rokok tersebut dibawa masuk ke negara ini menggunakan pelbagai kenderaan seperti lori, van untuk disimpan sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

"Siasatan masih terus dijalankan bagi mengesan pemilik lori yang telah dirampas," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Kastam Kelantan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Ujarnya, orang ramai digesa membantu Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan sebagainya.

"Maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855. Kerjasama ini amat diperlukan dalam usaha membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang negara," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!