Tigres FC tewas, presiden maut ditembak

Paez
Paez
A
A
A

PRESIDEN Tigres FC, Edgar Paez meninggal dunia setelah ditembak selepas kelab kedua tercorot Primera B Colombia berkenaan tewas di Stadium Metropolitano de Techo, Bogota pada Ahad, umum kelab divisyen dua tersebut.

Ketika kejadian, Paez, 63, dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki kereta bersama anak perempuannya selepas menyaksikan Tigres FC tewas 2-3 kepada Atletico FC sebelum ditembak dua lelaki menunggang motosikal berhampiran stadium, lapor media tempatan.

Anak perempuannya berjaya melarikan diri tanpa mengalami kecederaan dan pihak berkuasa Colombia sedang menjalankan siasatan berkenaan kes pembunuhan itu.

"Keluarga Tigres dan komuniti sukan sangat kecewa dengan insiden ini.

"Komitmen dan dedikasinya terhadap pasukan serta pembangunan sukan di rantau kami meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan kepada semua yang mempunyai keistimewaan mengenalinya," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, kekalahan terbaru kepada Atletico merupakan siri ketewasan kelapan Tigres musim ini selepas mengharungi 13 perlawanan liga.

Tigres kini menduduki tangga ke-15 liga dalam kalangan 16 pasukan - satu mata mengatasi Orsomarso SC yang kurang satu perlawanan.

Dalam pada itu, Presiden Divisyen Utama Bola Sepak Profesional Colombia (DIMAYOR), Fernando Jaramillo, yang mengendalikan liga profesional meratapi kematian Paez.

Artikel Berkaitan:

"Dia sentiasa dibezakan dengan rasa hormatnya terhadap rakan-rakannya, dengan kedudukannya yang kuat tetapi dihormati dengan cinta yang dia nyatakan untuk sukan yang kita semua minat iaitu bola sepak," kata Jaramillo.