Kok Leong tekad bawa pulang emas berganda

Kok Leong (kanan) bersama skuad negara sebelum berlepas ke Kemboja 2023 pada Jumaat.
Kok Leong (kanan) bersama skuad negara sebelum berlepas ke Kemboja 2023 pada Jumaat.
A
A
A

ATLET snuker negara, Lim Kok Leong bertekad membawa pulang lebih daripada satu emas buat kem snuker pada Sukan SEA edisi kali ini, selepas sekadar berpuas hati dengan satu pingat emas dan satu perak pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.

Atlet berusia 27 tahun yang menyumbang emas menerusi acara 6-Red perseorangan lelaki pada edisi lepas berkata, persiapan rapi dilakukan dalam misi pemburuan emas berganda sekali gus menebus kekecewaan terlepas emas acara perseorangan lelaki sebelum ini.

Hasrat Kok Leong untuk meraih emas kedua buat dirinya pada ketika itu tidak kesampaian selepas tewas di tangan pemain veteran Thailand, James Wattana pada aksi final.

“Ini penampilan ketiga saya di Sukan SEA jadi saya kalau boleh mahu membolot dua emas bagi acara sama yang dipertandingkan.

“Bagi acara 6-Red perseorangan, saya rasa tidak berdepan masalah, namun bagi acara perseorangan saya menjangkakan tentangan sengit daripada negara lain,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Kemboja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada Jumaat.

Juara Snuker Amatur Dunia 2022 itu yang turut mewakili negara dalam dua lagi acara iaitu 6-Red beregu dan beregu bersama pemain snuker berpengalaman Moh Keen Hoo, 37, dalam masa sama optimis mampu menceriakan kem snuker dengan menyumbang lebih daripada dua pingat disasarkan pada temasya kali ini.

Gandingan Kok Leong-Keen Hoo sebelum ini pernah membantu kem negara meraih emas acara beregu pada edisi 2019 di Manila, Filipina sebelum menyaksikan acara itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2021 Hanoi.

“Bagi acara beregu kita mempunyai potensi untuk emas apatah lagi saya turut bergandingan bersama Keen Hoo iaitu pemain senior di dalam skuad.

“Namun kami tidak mahu terlalu selesa dengan kelebihan itu dan merasakan semua negara mempunyai peluang sama rata bagi meraih emas,” katanya.

Pemain snuker negara dijadual memulakan aksi acara itu yang diadakan di Hotel Naga World di Phnom Penh bermula 7 hingga 14 Mei ini. - Bernama