Inkues Adib: Pakar Forensik HKL tolak teori Pakar Forensik Patologi UK

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi menolak semua teori yang dikemukakan oleh Pakar Forensik Patologi United Kingdom (UK), Professor Dr Shahrom Abd Wahid berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dalam rumusannya, Dr Ahmad Hafizam berkata, teori Dr Shahrom yang juga saksi ke-29 tidak berpadanan dengan corak dan kecederaan dialami mangsa yang diperiksanya secara klinikal bedah siasat bersama Ketua Jabatan Forensik HKL Datuk Dr Ahmad Shah Mahmood.

"Teori Dr Shahrom hanya memilih kecederaan tertentu pada lengan atas dan kanan," katanya.

Ahmad Hafizam merupakan saksi ke 24 yang dipanggil semula dalam inkuiri itu berkata, teori Dr Shahrom yang dikemukakan juga tidak bersesuaian dengan situasi dan keadaan pada malam kejadian.

"Teori Dr Shahrom tidak berpadanan dengan tempoh masa cepat dan bagaimana mangsa mendapat kecederan," katanya.

Pada prosiding hari ke -33 ini, Ahmad Hafizam turut mengulangi dapatan bahawa Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS ketika insiden rusuhan itu.

"Kebarangkalian yang paling mungkin adalah mangsa keluar sendiri dari EMRS.

"Mangsa tidak ditarik oleh orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kalau dilihat kepada kepatahan hadapan dan belakang maka kebarangkalian untuk mangsa tersepit ada sewaktu beliau menyiapkan laporan ini.

"Tetapi daripada maklumat lain ia tidak menyokong bahawa si mati tidak tersepit antara dua permukaan yang berat," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat, dakwaan dipukul tidak berpadanan tetapi ia lebih kepada terhimpit.

"Bagaimanapun sekiranya terhimpit antara dua kenderaan iaitu van EMRS dan Fire Tender Rescue (FRT), sepatutnya akan ada lebih banyak kecederaan," katanya.

Ahmad Hafizam berkata, sekiranya Muhammad Adib ditarik keluar dari van EMRS, akan ada dua kematian yang berlaku.

"Cadangan Dr Shahrom bahawa anggota bomba itu ditarik, pelaku yang menarik itu akan berdepan bahaya sama dengan Muhammad Adib kerana tidak dapat keluar dari zon bahaya iaitu bahagian kiri van EMRS," katanya.

Bagaimanapun, pengawai penyiasat memaklumkan tiada ada orang lain yang tercedera dalam kejadian pada malam tersebut.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok.

Sebuah Van EMRS akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan ujikaji dan penerangan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.