Bangunan baharu IUN dijangka beroperasi akhir Oktober

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bangunan baharu Blok B, Institut Urologi dan Nefrologi (IUN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merupakan Pusat Rujukan Tertiari dalam perkhidmatan kepakaran pemindahan buah pinggang dijangka beroperasi secara berperingkat pada akhir Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bangunan setinggi tujuh tingkat itu menempatkan kemudahan-kemudahan baharu seperti Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) Urologi dan Nefrologi serta Unit Hemodialisis dengan penyediaan katil sebanyak 252.

"Bilangan pesakit yang memerlukan rawatan sentiasa bertambah dan kadar penggunaan katil melebihi 100 peratus.

"Maka pembukaan bangunan ini dapat meningkatkan keupayaan rawatan dua hingga tiga kali ganda pesakit di ICU dan Unit Rawatan AKUT Hemodialisis.

"Selain itu, pembukaan dewan bedah di bangunan ini akan memberi manfaat pembedahan transplan, robotik, endourologi, laporoskopik dan vaskular, elektif serta kecemasan," katanya pada Majlis Penyerahan Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi bagi menyempurnakan majlis berkenaan.

Projek itu merupakan sebahagian daripada pembangunan semula HKL melibatkan kerja-kerja perobohan bangunan lama dan membina semula Kompleks Dewan Bedah Urologi baharu yang berhubung dengan Blok A, IUN.

Sementara itu, Alexander menjelaskan, projek bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dilaksanakan secara reka dengan kos sebanyak RM171 juta.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini berjaya disiapkan lebih awal dari tarikh ditetapkan dengan penjimatan kos sebanyak RM9 juta dan mencapai skor 79 peratus bagi Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) serta pengiktirafan empat bintang Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC).

"Selain itu, satu laluan bertingkat sepanjang 133 meter turut dibina yang menghubungkan bangunan utama HKL ke Kompleks Pakar dan Rawatan Harian bagi kegunaan membawa pesakit.

"Bersesuaian dengan teknologi pembinaan terkini, konsep pembinaan dewan bedah modular dilaksanakan dengan kaedah pasang siap sepenuhnya," ujarnya.