Tahi cicak tak batalkan wuduk - Dr Zulkifli

Zulkifli Mohamad Al Bakri
Zulkifli Mohamad Al Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang.

Perkara itu dijelaskan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi huraian di Maktabah Al-Bakri pada Isnin.

"Wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya. Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat.

"Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat," katanya bagi menjawab soalan daripada individu yang bertanyakan baru-baru ini tular satu video dan di dalamnya disebutkan, terpijak tahi cicak membatalkan air sembahyang. Jadi, benarkah bahawa terpijak atau terkena tahi cicak membatalkan air sembahyang? Mohon pencerahan.