Buruh binaan didakwa bunuh peniaga pisang goreng

Jhon Piter didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas pertuduhan membunuh peniaga pisang goreng.
Jhon Piter didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas pertuduhan membunuh peniaga pisang goreng.
A
A
A

TAIPING - Seorang buruh binaan yang ditahan kerana memukul peniaga pisang goreng, dua minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, S Jhon Piter, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Prabakaran.

Tertuduh didakwa telah membunuh Chor Kok Kuan, 59, di kaki lima gerai makanan Pasar Pokok Assam di sini antara jam 3.30 petang hingga 4.15 petang pada 12 September lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 20 November depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan izin dakwa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan seorang peniaga pisang goreng maut dipukul selepas menegur pelanggannya yang menyentuh pisang goreng menggunakan tangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah penyakit jantung dengan kecederaan tisu lembut pada badan.

Artikel Berkaitan: