Peniaga pisang goreng maut dipukul pelanggan

Mangsa dikenali penduduk kerana berniaga sambil menyanyi maut selepas menegur pelanggan yang menyentuh pisang goreng dengan tangan di Pokok Assam, Taiping. - Foto ihsan pembaca
Mangsa dikenali penduduk kerana berniaga sambil menyanyi maut selepas menegur pelanggan yang menyentuh pisang goreng dengan tangan di Pokok Assam, Taiping. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TAIPING - Berang ditegur kerana menyentuh pisang goreng menggunakan tangan, seorang lelaki bertindak memukul peniaga hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Pokok Assam di sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa, Chor Kok Kuan, 59, telah bertengkar dengan suspek hingga peralatan di gerainya rosak.

Difahamkan suspek yang berusia 40-an telah menyerang dengan menggunakan batang kayu dari arah belakang ketika mangsa sedang mengemas gerainya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berjaya ditahan polis dan tiga batang kayu serta sebuah topi keledar dirampas di tempat kejadian.

"Ujian saringan awal ke atas tangkapan mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh binaan positif dadah jenis morfin.

"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah penyakit jantung dengan kecederaan tisu lembut pada badan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, suspek direman sehingga Selasa depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: