Malaysia perlu sedia, corak kepimpinan ketuai kuasa ASEAN

Johari
Johari
A
A
A

BEIJING - Malaysia perlu bersedia bukan sahaja bergerak membangun bersama negara ASEAN malah perlu menentukan corak kepimpinan bagi mengepalai kebangkitan kuasa rantau itu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata, penting bagi Malaysia dalam menentukan kedudukannya serta corak dalam perubahan perkembangan kuasa ekonomi yang kini tertumpu di negara-negara ASEAN lebih-lebih lagi Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.

Justeru bagi tujuan itu, Johari berkata, rakyat Malaysia termasuk mereka yang sedang menimba pengalaman di negara membangun serta kuasa besar rantau itu seperti China, perlu menyumbang kepada pembangunan negara agar tidak ketinggalan dengan negara serantau dan mampu memimpin ASEAN.

"Pada abad ke-21, majoriti pakar ekonomi kata abad ini milik Asia dan perkembangan ini kita tidak boleh duduk diam...negara jiran semakin ke hadapan.

"Dengan apa yang berlaku (perkembangan ekonomi di Asia) bagaimana Malaysia akan menjadi pemimpin ASEAN kerana kita akan pengerusikan (Sidang Kemuncak) ASEAN pada 2025... ramai pemimpin dunia bertanya kepimpinan kita (Malaysia) dan hala tuju ASEAN," katanya pada Sesi Ramah Mesra Diaspora Malaysia di sini malam Ahad.

Johari berkata, antara langkah bagi memastikan Malaysia bersedia memimpin ASEAN termasuk dengan memperkasakan serta membentuk belia tempatan menjadi pemimpin dan pakar dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI).

"Anak muda kita kini ramai yang terlibat dalam ekonomi gig hingga ada yang tidak mahu melanjutkan pelajaran...ini bakal menjadi masalah kerana kita akan kehilangan pemimpin serta bakat dan tenaga pakar pada masa hadapan.

"Justeru kita perlu membetulkan perkara ini dan saya percaya rakan-rakan saya (di Kabinet dan Parlimen) sedang usahakan...belia kita di luar negara juga kita perlukan pengalaman anda untuk membangunkan Malaysia, timba pengalaman dan bawa pulang ke tanah air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Johari yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia kini dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing selama empat hari sehingga Khamis ini atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China, Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu di Parlimen Malaysia pada 18 Mei lepas.

Hari ini, Johari dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Zhao dan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning selain akan menyampaikan syarahan umum 'ASEAN dalam Abad Asia' kepada penuntut Universiti Tsinghua untuk membincangkan peranan Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025. - Bernama