Hapus kerenah birokrasi, permudah urusan jalan perniagaan - PM

Anwar ketika sidang media hari terakhir selepas menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika sidang media hari terakhir selepas menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - [DIKEMAS KINI] Tatkala semakin banyak syarikat mengembangkan operasi ke Malaysia atau meningkatkan pelaburan sedia ada mereka, pihak berkuasa perlu menghapuskan kerenah birokrasi dan menambah baik urusan untuk menjalankan perniagaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, beliau kecewa kerana dalam beberapa kes, proses membuat keputusan masih lagi lambat dan lewat dan ini memberi kesan kepada syarikat yang merancang untuk melabur di Malaysia.

"Sesetengah syarikat yang menemui kami berkata masih ada kelewatan dalam memberi kelulusan. Saya sangat kecewa apabila mendengarnya kerana kami telah memberi arahan yang jelas dan kita tidak boleh berlengah," katanya pada sidang media di akhir lawatan empat hari beliau ke New York sempena menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar berkata, Malaysia berada dalam era dan dunia yang sangat kompetitif.

"Jika anda tangguh enam bulan, negara lain akan memberi kelulusan dalam masa dua bulan. Kita akan terlepas peluang disebabkan oleh sikap itu...tetapi untuk berlaku adil, kita telah melakukan yang terbaik di sini kerana kakitangan bekerja sepanjang masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar (pertemuan dengan pelabur)," katanya.

Perdana Menteri berkata, arahan telah diberikan kepada menteri dan agensi yang berkaitan untuk memastikan semua permohonan diputuskan dengan cepat, termasuk kelulusan untuk pelaburan atau pengeluaran visa.

Sementara itu, Anwar berkata, syarikat aeroangkasa terbesar dunia, Boeing, yang telahpun memiliki kilang mengeluarkan sayap di Malaysia memaklumkan hasrat untuk mengembangkan pelaburannya dengan mengeluarkan sayap dan bahagian-bahagian bagi semua jenis pesawat.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu bertapak di Malaysia melalui Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM), pakatan strategik antara Boeing dan Hexcel Corporation.

ACM ialah pengeluar komponen komposit canggih bagi industri aeroangkasa.

"Ini adalah satu keputusan yang sangat besar untuk Malaysia. Dengan keputusan ini, hampir semua sayap dengan bahagian-bahagian akan dikeluarkan di Malaysia," katanya

Beliau berkata, beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) lain seperti ConocoPhillips, AWS, Google, Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, and Kimberly-Clark juga akan mengembangkan operasi mereka atau menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap ke Malaysia.

Selain itu, semasa lawatannya ke sini, Anwar juga mengumumkan bahawa dua syarikat elektrik dan elektronik utama AS bersedia untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.

Satu daripadanya, Alton Industry Ltd Group (Alton Group) - pembekal global alatan pengguna dan komersil, perkakas dan penjagaan lantai - akan melabur sekurang-kurangnya RM500 juta untuk membuka kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil kerja keras oleh pelbagai kementerian dan agensi terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menarik pelaburan.

Semasa kunjungan Perdana Menteri ke Invest Malaysia New York, di sini, beliau juga bertemu Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat; Presiden Global Boeing, Dr Brendan Nelson; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Medtronic, Geoff Martha serta Pengarah Urusan Global Siemens Healthcare, Tisha Boatman. - Bernama