Pengendalian makanan di 43,107 premis patuh tahap kebersihan ditetapkan

Lukanisman menyampaikan ucapan perasmian Apron Walk 2023 sempena Sambutan Hari Keselamatan Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Anjung Floria hari ini.Foto Bernama
Lukanisman menyampaikan ucapan perasmian Apron Walk 2023 sempena Sambutan Hari Keselamatan Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Anjung Floria hari ini.Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 43,107 premis atau 94.8 peratus daripada 45,467 premis yang diperiksa di seluruh negara sejak Januari hingga Ogos tahun ini, mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan bagi pengendalian makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, sepanjang tempoh berkenaan juga, sebanyak 1,097 premis telah diarahkan ditutup, kerana gagal mematuhi aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

"Ini bermaksud di Malaysia premis-premis mematuhi standard peraturan kebersihan... ini juga termasuk trak makanan yang kita bawa untuk acara hari ini, yang didapati mematuhi standard yang ditetapkan dalam penyediaan makanan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Apron Walk 2023 di sini hari ini.

Lukanisman berkata, bagi tempoh 2020 sehingga Ogos lepas, sebanyak 235,245 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara, dengan 4,767 atau 2.03 peratus diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas didapati tidak bersih.

Beliau berkata, sebanyak 58,675 kompaun, juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 2009 bagi tempoh sama.

Mengenai kes keracunan makanan, Lukanisman berkata, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 294 kes dilaporkan dengan 76 daripadanya melibatkan kejadian di premis sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kita sedang bekerjasama dengan pihak KPM, dalam sebuah program untuk membuat pemantauan dan memberikan khidmat nasihat berhubung aspek kebersihan penyediaan makanan di premis pendidikan,” katanya.

Sementara itu, mengenai acara tersebut beliau berkata, lebih 1,000 peserta, terdiri daripada kakitangan KKM dan warga Putrajaya, menyertai Apron Walk 2023.

Artikel Berkaitan:

Program itu dianjurkan sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Sambutan Ulang Tahun Codex Alimentarius Commission atau Hari Codex ke-60, satu badan penetapan sambutan makanan antarabangsa.

Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia pada tahun ini bertemakan ‘Standard Makanan Menyelamatkan Nyawa’. - Bernama