'Wajar contohi Terengganu' - Adam Adli

Adam Adli (dua dari kanan) bersama Hishamuddin (tiga dari kiri) ketika merasmikan LTdL 2023 di Kuala Terengganu Panaromik pada Jumaat. - Foto Bernama
Adam Adli (dua dari kanan) bersama Hishamuddin (tiga dari kiri) ketika merasmikan LTdL 2023 di Kuala Terengganu Panaromik pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim memuji usaha kerajaan negeri Terengganu bagi menjayakan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang membuka tirai secara rasmi pada Sabtu.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri Terengganu yang juga penaja utama LTdL 2023 wajar dicontohi dalam memastikan kelancaran perlumbaan berstatus ProSeries itu.

“Ya sudah tentu kita di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) amat berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri Terengganu atas sokongan mereka dalam menjayakan perlumbaan LTdL tahun ini.

“Ini membuktikan tiada sempadan politik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu dalam menganjurkan acara sukan seperti LTdL yang sememangnya kita tahu ia adalah kejohanan berbasikal berprestij.

“Sewajarnya apa yang dilakukan kerajaan negeri Terengganu ini dicontohi kerana sukan antara medium yang dapat memupuk semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengenalan Pasukan LTdL 2023 yang berlangsung di Dataran Panoramik, Kuala Terengganu, pada Jumaat malam.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim; Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Turut hadir Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mazlan Md Jalil; Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill dan Norazman Abu Samah serta dan barisan penaja LTdL 2023.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis tersebut, sebanyak 22 pasukan yang terdiri daripada keseluruhan 132 pelumba diperkenalkan secara rasmi bagi menghadapi perlumbaan LTdL 2023 yang akan beraksi pada 30 September ini.

"Saya lihat Terengganu berjaya melangsungkan Majlis Pengenalan Pasukan LTdL 2023 dengan penuh meriah. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri Terengganu,” jelas Adam Adli.

Terdahulu, Hishamuddin berkata, kerajaan negeri Terengganu sedia menjadi penaja LTdL 2024 jika mendapat tawaran daripada MSN selaku pihak penganjur.

"Setakat hari ini Insya-ALLAH berdasarkan kedudukan kewangan kita, secara objektifnya kita bersetuju untuk bekerjasama dan menyokong LTdL pada tahun depan.

"Ini kerana ia bakal merancakkan lagi sektor pelancongan Terengganu yang terkenal dengan julukan 'Negeri Cantik Budaya Menarik' kerana kejohanan ini dapat disaksikan di seluruh dunia," jelasnya.