PM lancar myPortfolio, tingkat kualiti penjawat awam

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap melancarkan inisiatif myPortfolio di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap melancarkan inisiatif myPortfolio di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam bagi mempertingkatkan lagi kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam di negara ini.

Perdana Menteri berkata, myPortfolio nanti akan menjadi rujukan kepada agensi kerajaan dalam penyediaan dokumen berkaitan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab yang lebih teratur di peringkat jabatan dan individu.

"myPortfolio ini merupakan instrumen pengurusan strategik untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien dapat membantu rakyat berurusan dengan kerajaan dengan lebih mudah dan telus," katanya pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Katanya lagi, inisiatif myPortfolio membolehkan seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat dalam melaksanakan tugas mereka serta parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawai lain.

"Proses ini juga memudahkan penyelia memantau status pelaksanaan tugas dan mengambil tindakan pembetulan jika berlaku kelewatan," katanya.

Katanya lagi, dengan adanya myPortfolio juga dapat memastikan supaya tidak berlaku kelewatan dan kesilapan dalam pelaksanaan tugas di jabatan kerajaan dan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti yang membawa kebaikan kepada rakyat. Tambahnya, kerajaan kini fokus terhadap agenda reformasi dan pemerkasaan tadbir urus bagi mencegah berlakunya rasuah, ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai pemangkin kepada wujudnya persekitaran kondusif yang menyokong kepada peningkatan daya saing negara di peringkat global.

Majlis penyempurnaan pelancaran turut dihadiri hampir 70 orang yang terdiri daripada ahli-ahli mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dan empat rakan strategik Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Artikel Berkaitan:

myPortfolio telah berkuatkuasa mulai 12 Julai 2018. Panduan ini dikeluarkan oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri.

MAMPU turut mengeluarkan Panduan Penetapan Tempoh Masa Dalam Carta Alir yang memperincikan lagi pelaksanaan penyediaan carta alir aktiviti utama di jabatan kerajaan.

Agensi-agensi kerajaan perlu memaparkan ketelusan kerajaan dan juga betapa kerajaan memahami kehendak dan ekspektasi rakyat.

Bagi memastikan myPortfolio dilaksanakan dengan tepat dan berkesan, tindakan pengesanan, susulan dan usaha-usaha pengukuhan dilaksanakan oleh MAMPU.

CAP Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap melancarkan inisiatif myPortfolio di Putrajaya hari ini.