Rakam filem di pawagam boleh dikenakan tindakan

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Perbuatan merakam tayangan filem di pawagam secara langsung (live streaming) di media sosial boleh dikenakan tindakan undang-undang walaupun pelaku hanya berniat suka-suka.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Raub, Abdul Mubin Ahmad berkata, penonton yang melakukan cubaan untuk merakam tayangan filem tanpa kebenaran melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43A, Anti Rakaman Kamera Akta Hakcipta 1987.

Menurutnya, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang dan tidak lebih dari RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi mereka yang melakukan curi rakam secara keseluruhan tayangan tanpa kebenaran di pawagam boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Walaupun penonton hanya berniat suka-suka dan nak tunjuk mereka yang terawal tengok sesebuah filem itu, tetap boleh dikenakan tindakan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Abdul Mubin (kiri) bersama anggotanya melakukan pemantauan di sebuah pawangan di Genting Highlands, Khamis lalu.
Abdul Mubin (kiri) bersama anggotanya melakukan pemantauan di sebuah pawangan di Genting Highlands, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Abdul Mubin berkata, PPDNHEP Cawangan Raub sentiasa memandang serius kegiatan cetak rompak secara langsung di media sosial terutamanya berhubung isu pelanggaran hak harta intelek.

"Khamis lalu, seramai tiga anggota telah melakukan pemeriksaan di salah sebuah pawagam di Genting Highlands bagi mengesan kegiatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kita bersyukur kerana tiada kesalahan atau cubaan merakam dikesan dan tiada tangkapan dalam kalangan penonton yang diperiksa," katanya.

Sementara itu, Abdul Mubin berkata, langkah itu diambil untuk membantu industri perfileman negara.

"Di samping pemantauan dari pihak kita, pihak pawagam juga sentiasa bantu buat pemantauan.

"Kepada sesiapa yang terlihat ada kegiatan rakam curi, segera laporkan kepada pihak pawagam supaya kita boleh teruskan ambil tindakan kepada pelaku," katanya.