Pencuri tabung surau diserahkan kepada polis

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suspek yang dipercayai melakukan pecah tabung Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, di Sungai Tiram di sini, telah diserahkan kepada pihak polis oleh penduduk setempat untuk tindakan lanjut semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, suspek berusia 26 tahun itu diserahkan kepada anggota polis yang sedang menjalankan tugas rondaan kira-kira jam 10 pagi sekitar kawasan berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian beberapa orang awam telah menyerahkan suspek bersama motosikalnya.

“Mengikut rakaman kamera litar tertutup surau berkenaan pada Jumaat lalu, suspek dipercayai telah masuk dan cuba pecah tabung surau berkenaan tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan di sini hari ini.

Ismail berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek juga mempunyai satu rekod jenayah atas kesalahan curi.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang lelaki yang memecah masuk Surau At-Taqwa di Kampung Mulia, di Sungai Tiram di sini untuk mencuri tabung surau tersebut telah ditangkap penduduk kampung yang kemudiannya bertindak memandikannya di tempat jenazah.

Kejadian itu turut tular di laman sosial serta mendapat reaksi yang pelbagai daripada netizen.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Ramle Ahmat berkata, beliau langsung tidak berniat untuk memalukan mana-mana individu dengan tindakan tersebut, sebaliknya sebagai kesedaran dan pengajaran kepada pelaku serta orang lain.

Artikel Berkaitan:



ARTIKEL BERKAITAN: Mandikan si pencuri di tempat jenazah sebagai pengajaran Artikel Penuh