Semangat membara atasi keletihan skuad wushu

Kontinjen Malaysia bergambar pada majlis mengalu-alukan pasukan untuk Sukan Asia ke-19 Hangzhou hari ini. - Foto Bernama
Kontinjen Malaysia bergambar pada majlis mengalu-alukan pasukan untuk Sukan Asia ke-19 Hangzhou hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD wushu negara hanya tidur kira-kira tiga jam sebelum memulakan latihan pertama di venue pertandingan di Pusat Sukan Xiaoshan Guali di sini pagi ini.

Pengurus skuad wushu ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Yong Kheng Chien berkata kesemua atlet dan jurulatih yang terbang dari Tianjin, China selesai mendaftar masuk ke perkampungan sukan kira-kira 2 pagi selepas mengalami kelewatan disebabkan penerbangan asal dibatalkan.

Katanya, mereka kemudian bangun seawal 6 pagi untuk bersarapan dan bersiap sebelum menjalani latihan dan menguji gelanggang pertandingan selama satu jam bermula 9 pagi.

"Agak banyak perubahan di saat akhir di sini, atlet pun tak cukup tidur sebab tidur kira-kira pukul 3 pagi dan perlu bangun pukul 6. Walaupun penat tetapi semangat mereka sangat tinggi, boleh nampak semasa latihan, kebanyakan mereka dalam keadaan terbaik dan bersemangat untuk membuat persembahan.

"Latihan dekat China (juga) telah meningkatkan keyakinan atlet, ia dapat dilihat sepanjang sesi latihan selama satu jam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mengulas mengenai keadaan sandaran pingat pertama negara Wong Weng Son, Kheng Chien berkata, prestasi bekas juara dunia itu dalam sesi latihan sangat mengagumkan.

"Beliau sangat yakin dan berhasrat untuk memberi aksi terbaik untuk meraih pingat,” katanya.

Weng Son akan beraksi dalam acara Changquan Lelaki yang dijadual berlangsung Ahad ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kem wushu negara ‘berkampung’ di Tianjin selama sebulan untuk menjalani latihan intensif sebagai persiapan menghadapi temasya sukan empat tahun sekali itu.

Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, skuad wushu negara gagal membawa pulang sebarang kilauan pingat. - Bernama