Pencapaian skuad skuasy negara di India membanggakan

Barisan skuad skuasy negara bersama trofi kejohanan selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Piala Dunia Skuasy 2023 di Chennai India pada Sabtu.
Barisan skuad skuasy negara bersama trofi kejohanan selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Piala Dunia Skuasy 2023 di Chennai India pada Sabtu.
A
A
A

JURULATIH skuad kebangsaan, Jess Tay bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya, yang meraih pingat perak di kejohanan Piala Dunia Skuasy 2023 di Chennai, India pada Sabtu.

Jess berkata, skuad campuran negara yang dibarisi pemain muda, sedikit pun tidak menunjukkan kegoyahan menentang pasukan pilihan pertama Mesir, pada aksi final apabila melakukan beberapa percubaan berani kepada juara bertahan itu.

Malah pasukan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, berjaya menewaskan pasukan tuan rumah yang menurunkan barisan terkuat mereka, pada aksi separuh akhir pada Jumaat (16 Jun).

"Saya masih tidak percaya kami dapat perak, sebab hanya sangka kita dapat gangsa. Namun semasa peringkat separuh akhir kita turut tewaskan pasukan hebat India, jadi saya sangat gembira.

"Pemain turun dengan tiada tekanan dan mereka benar-benar tampilkan aksi menarik dan berjaya melepasi halangan yang sukar," katanya semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Malaysia terlepas gelaran kejohanan Piala Dunia Skuasy 2023 selepas pasukan negara diwakili Yee Xin Ying, P Darren Rahul, Aira Azman dan Ong Sai Hung, tumpas 1-2 kepada Mesir pada aksi final yang berlangsung di Express Avenue Mall pada Sabtu.

Kejohanan kali terakhir diadakan pada 2011 itu, menyaksikan Mesir turut meraih kejuaraan ketika itu apabila diwakili jaguh skuasy mereka iaitu Raneem El Welily, Ramy Ashour, Karim Darwish dan Mohamed ElShorbagy. - Bernama