LTdL 2023: 'Kami sudah siap sedia' - Emir

LTdL 2023 sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan situasi cuaca yang tidak menentu bermula Sabtu ini. - Gambar kecil: Emir
LTdL 2023 sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan situasi cuaca yang tidak menentu bermula Sabtu ini. - Gambar kecil: Emir
A
A
A

PENGANJUR Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan situasi cuaca yang tidak menentu menjelang perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu yang bermula Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya sudah menjangkakan situasi sedemikian memandangkan musim tengkujuh dijangka tiba lebih awal pada tahun ini.

"Persediaan LTdL tahun ini, kita buat secara keseluruhan. Namun, untuk menukar atau mengubah sedikit laluan sudah ada (sekiranya berlaku banjir atau situasi yang tidak dijangka pada saat akhir).

"Itu berdasarkan pengalaman pada 2011, kita dapat tukar sebahagian besar. Kita siapkan satu alternatif untuk laluan berkenaan. Bagi saya, hujan itu biasa," kata Emir kepada pemberita baru-baru ini.

Dua negeri di Pantai Timur - Terengganu dan Kelantan bakal menjadi tumpuan apabila Peringkat 1 bermula dari Kerteh ke Kuala Terengganu dan keesokannya Peringkat 2 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Di sebalik situasi perubahan monsun ketika ini, wakil 'tuan rumah' iaitu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sudah tentu mahu menggunakan kelebihan di laman sendiri.

Malah, Emir turut menjangkakan dua peringkat awal perlumbaan itu bakal memberi kelebihan buat TSG terutamanya Raja Pecut 2020 dan 2021, Muhammad Nur Aiman Zariff untuk menyambar podium.

"Aiman Zarif ada peluang untuk hari pertama kerana akan melalui 'kampungnya'. Jadi dia akan terus melakukan 'serangan' sejak hari pertama lagi sebab dia sudah tentu mahu mengutip mata di zon pendakian," katanya.

Artikel Berkaitan:

LTdL 2023 yang berstatus ProSeries akan menyusuri 11 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan sejauh 1,278.1 kilometer (km).

Peringkat 1 akan dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4km; Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km) dan Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km).

Peringkat 5 diteruskan dari Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.