Lebih 5,000 rumah mesra rakyat dibina tahun ini

Kor Ming - Foto: Bernama
Kor Ming - Foto: Bernama
A
A
A

BENTONG - Sebanyak 5,045 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina tahun ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM123 juta bagi tujuan berkenaan yang diluluskan pada Ogos lepas.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, setakat ini, sebanyak 4,250 unit rumah telah dibina oleh Syarikat Perumahan Nasional Bhd (SPNB), melepasi sasaran ditetapkan untuk tahun ini iaitu 3,410 unit.

"Atas keprihatinan Kerajaan Perpaduan dan semangat Malaysia MADANI untuk menawarkan rumah mampu milik atau RMR, ada peruntukan tambahan yang besar untuk skim ini.

"Mengikut belanjawan asal, kerajaan memperuntukkan RM358 juta. Sekarang ada tambahan suntikan dana RM123 juta, menjadikan jumlahnya RM481 juta untuk seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi penyerahan kunci RMR yang siap dibina kepada tiga penerima di Kampung Chemomoi, di sini pada Khamis.