Dosa boleh diwarisi, ini fakta yang wajib kita tahu

Dosa tidak boleh diwarisi secara umumnya, tetapi ia boleh berlaku dalam keadaan tertentu. -Foto: Unsplash
Dosa tidak boleh diwarisi secara umumnya, tetapi ia boleh berlaku dalam keadaan tertentu. -Foto: Unsplash
A
A
A

TIDAK seperti iman, ada sebahagian dosa boleh diwarisi seseorang. Meskipun pernyataan itu kelihatan janggal, tetapi ia mempunyai asasnya.

Demikian fakta yang dikemukakan oleh pendakwah Ustaz Muhamad Rizal Johari menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapatkan pahalanya, dan pahala orang yang melakukannya setelahnya; tanpa berkurang sesuatu apa pun daripada pahala mereka. Dan barang siapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun daripada dosa-dosa mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar penulis buku kerohanian itu, seseorang boleh menanggung dosa orang lain andai diri mengajarkan satu perbuatan buruk atau perkara dosa kepada orang lain.

“Setiap kali dosa itu dibuat atau dilakukan oleh orang tersebut, maka kita juga akan mendapat dosa berkenaan.

Usah ajar perkara tidak baik kepada orang lain yang boleh mengundang dosa mengalir pada kita kelak. -Foto: Unsplash
Usah ajar perkara tidak baik kepada orang lain yang boleh mengundang dosa mengalir pada kita kelak. -Foto: Unsplash

“Maka kerana itu, jangan ajar benda yang tak baik kepada orang lain,” pesannya.

Itu satu hal, belum lagi jika individu yang diajarkan tadi itu ‘menunjuki’ orang seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Andai itulah yang berlaku, Ustaz Muhamad Rizal menjelaskan, dosa tersebut akan diwarisi berterusan kepada orang-orang selepas dan seterusnya.

Apabila melihat adik beradik atau ibu bapa melakukan kesalahan di sisi agama dan kita menegur mereka, adakah dosa maksiat tersebut akan berpanjangan kepada kita juga?

Menjawab persoalan itu, Ustaz Muhamad Rizal Johari menjelaskan, teguran yang dipertanggungjawabkan adalah antara ibu bapa terhadap anak.

Ini kerana mereka diberi tanggungjawab mendidik, ungkapnya.

“Namun, sebagai jiwa yang memiliki takwa, kita tidak akan senang dengan kemaksiatan atau perkara buruk.

“Maka kerana itu kita disaran oleh Nabi Muhammad SAW untuk menegah kemungkaran di depan mata sama ada dengan tangan atau dengan lisan atau selemah-lemahnya menerusi hati yang tidak merelakan atau reda perbuatan tersebut.

Sama-samalah kita mencegah kemungkaran dan menghindari diri daripada berbuat dosa yang boleh diwarisi. -Foto: Unsplash
Sama-samalah kita mencegah kemungkaran dan menghindari diri daripada berbuat dosa yang boleh diwarisi. -Foto: Unsplash

“Namun asbab dakwah kita yang tidak putus asa, lalu membuatkan mereka berubah, maka ia akan mengalirkan pahala berterusan buat kita daripada kebaikan mereka,” terangnya panjang lebar.

Justeru, berhati-hatilah dengan setiap tindak-tanduk agar dosa orang lain tidak diwarisi oleh kita asbab perlakuan sendiri.

Keburukan sendiri pun sudah banyak dan tidak terlarat menanggungnya, inikan pula ditambah lagi dengan dosa ‘warisan’ daripada orang lain. Kelak diri yang akan merana!