'Jual beras timbang kilo atas permintaan pelanggan'

Noor Shuhada sedang menimbang beras import untuk memudahkan penduduk membelinya mengikut kilogram.
Noor Shuhada sedang menimbang beras import untuk memudahkan penduduk membelinya mengikut kilogram.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang penjaga kedai runcit di Pekan Kodiang di sini terpaksa menjual beras secara timbang kilo sejak dua minggu lalu atas permintaan penduduk kampung.

Noor Shuhada Ahmad Judin, 33, berkata, rata-rata penduduk di kawasan terbabit adalah pesawah yang juga merupakan golongan B40.

Katanya, kebanyakan penduduk kampung tidak mampu untuk membeli beras kampit lima kilogram (kg) kerana harganya yang mencecah hampir RM20.

Beras timbang kilo dijual atas permintaan pelanggan sejak dua minggu lalu.
Beras timbang kilo dijual atas permintaan pelanggan sejak dua minggu lalu.

"Tambah sekarang yang ada cuma beras import, jadi memang mahal terutamanya untuk mereka yang bekerja gaji hari.

"Kadang- kadang ada yang baharu balik kerja upah meracun, singgah beli beras sekilo dua untuk bawa balik ke rumah," katanya ketika ditemui di kedai runcit di sini pada Rabu.

Menurutnya, beras timbang terbabit adalah beras import dan dijual pada harga RM3.30 sekilogram.

"Saya akan timbang ikut permintaan pelanggan.Alhamdulillah sejak buat jualan beras timbang kilo ini, hari-hari orang mai beli beras.

Artikel Berkaitan:

"Setidak-tidaknya kita boleh bantu mereka beli beras secara sikit-sikit berbanding keluarkan kos sekaligus untuk lima atau 10 kg beras," katanya.

Noni
Noni

Sementara itu, suri rumah, Noni Saad,47, berkata, mereka sekeluarga terpaksa membeli beras import lima kg berbanding beras tempatan 10 kg sebelum ini.

"Kalau beli beras 10kg yang import, terasa mahal sangat saya pun tak mampu tambah saya pula hanya berniaga kecil-kecilan sahaja untuk tampung perbelanjaan rumah.

"Saya pun dah mati akal nak cari beras tempatan, sebab semua kedai dan pasar raya berdekatan rumah hanya jual beras import," ujarnya.

Noni menambah, rakannya yang juga seorang peniaga nasi lemak sedang dalam perancangan untuk berhenti berniaga kerana krisis beras tempatan terbabit.

"Peniaga nasi lemak selalu guna beras tempatan sahaja, tapi sekarang tak kan nak guna beras import untuk berniaga.

"Kalau naikkan harga nasi lemak, nanti pelanggan marah dan tak mai beli pula, jadi yang rugi peniaga juga," katanya.