Pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya perbaiki integriti institusi perundangan

Hussain Yusri Zawawi
Hussain Yusri Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati politik melihat komitmen kerajaan untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai satu langkah positif dalam mengekalkan dan memperbaiki integriti institusi perundangan negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, pelaksanaan pengasingan itu juga penting kerana ia dapat memastikan badan itu tidak terikat kepada keputusan politik selain mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan undang-undang berteraskan prinsip perlembagaan.

"Pelaksanaan (pengasingan kuasa) ini adalah asas kebebasan profesionalisme dalam perundangan yang membantu memastikan keadilan dalam proses perundangan negara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Isnin di Dewan Rakyat menzahirkan komitmen bahawa kerajaan komited dalam usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara.

Menurut Artikel 145(2), peranan Peguam Negara ialah menasihati Yang di-Pertuan Agong, kabinet atau menteri yang dalam erti kata lain, secara dasar tugas Peguam Negara ialah sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif, manakala Artikel 145(3) menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mendakwa kes-kes jenayah bagi pihak awam.

Mengulas lanjut, Hussain menegaskan pengasingan kuasa ini adalah salah satu elemen utama dalam memastikan sistem perundangan Malaysia berfungsi secara adil, bebas daripada campur tangan politik dan mampu mengekalkan integriti sebagai sebuah institusi yang berkualiti tinggi.

"Tindakan ini juga memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia dalam sistem perundangan negara.

"Dengan pengasingan kuasa yang jelas antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, rakyat mendapat keyakinan bahawa proses undang-undang di Malaysia bebas dari pengaruh politik yang mungkin mempengaruhi kes di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, ini memberikan keyakinan yang sangat diperlukan dalam sistem perundangan negara dan memberikan rakyat keyakinan bahawa keadilan akan dilakukan tanpa sebarang pengecualian.

"Komitmen kerajaan dalam usaha pengasingan kuasa ini bukan sahaja mencerminkan tekad untuk mengukuhkan kedaulatan undang-undang, tetapi juga untuk memajukan dan memodenkan sistem perundangan negara.

"Dalam konteks ini, Malaysia dapat terus menjadi contoh yang baik dalam mempromosikan nilai-nilai keadilan, kebebasan dan ketelusan dalam sistem perundangan negara," katanya.