Saran GLC, GLIC ceburi industri pengedaran beras, elak dimonopoli kartel

GLC dan GLIC disaran untuk terlibat dalam rantaian pengedaran beras tempatan bagi mengelak industri padi dimonopoli kartel. - Gambar hiasan
GLC dan GLIC disaran untuk terlibat dalam rantaian pengedaran beras tempatan bagi mengelak industri padi dimonopoli kartel. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disaran untuk terlibat dalam rantaian pengedaran beras tempatan bagi mengelak industri padi dimonopoli kartel.

Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad berkata, ia juga bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik.

Menurutnya, langkah itu juga dapat memperkasakan sektor terbabit memandangkan kedua-dua agensi kerajaan itu mempunyai dana kewangan yang besar.

“Saya cadangkan GLC atau GLIC milik kerajaan Persekutuan memainkan tanggung jawab sosial korporat (CSR) menceburi bidang pengedaran beras tempatan kerana mereka mempunyai dana kewangan besar.

“Selain dapat mengawal ketirisan, ia bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi serta mengelak kartel terus berleluasa,” katanya di sini pada Selasa.

Abd Ghani berkata, semua aspek perlu diperhalusi apatah lagi baru-baru ini negara dikejutkan dengan dakwaan pihak tertentu cuba mengaut keuntungan dengan menukar bungkusan beras putih tempatan kepada beras putih import.

“Tindakan itu telah mengakibatkan bekalan beras tempatan berkurangan dalam pasaran. Walaupun kita maklum perbuatan tersebut (menukar kampit) disebabkan pengilang mahu kaut untung segera susulan kos operasi meningkat, ia tetap salah di sisi undang-undang.

“Ia berlaku susulan Bernas (Padiberas Nasional Bhd) telah menyelaraskan harga beras putih import seluruh negara daripada RM2,350/tan metrik kepada RM3,200/tan metrik,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Abd Ghani turut mencadangkan agar kerajaan menggubal undang-undang berkaitan ‘anti rent-seeking’ atau berkonsepkan Ali Baba untuk mengelak berlaku monopoli dalam komoditi makanan utama oleh pihak tertentu.

“Situasi itu berlaku apabila ada komoditi makanan utama dimonopoli dan diberikan permit khas oleh kerajaan untuk beroperasi atau dikuasai oleh satu atau dua syarikat besar.

“Isu ini perlu diperhalusi terutama melibatkan pihak swasta yang memonopoli pengedaran dan pengeluaran makanan keperluan utama, yang mana dalam sesetengah sektor pengedaran makanan telah wujud kartel atau pakatan perniagaan bertujuan untuk menaikkan harga barangan, contohnya pengedaran beras,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Abd Ghani berharap peranan GLC dan GLIC turut diperluaskan dalam sektor perumahan untuk rakyat.

“Selain disaran terbabit dalam industri beras, GLC dan GLIC juga diharap memainkan peranan bagi membolehkan rakyat memiliki rumah.

“Saya dapati kekurangan perumahan kos rendah dan sederhana disebabkan wujud pemaju cenderung bina rumah kos tinggi atau pangsapuri mewah. Ada yang bangunkan hartanah membina kondominium mewah kemudian dijual kepada rakyat bukan tempatan.” katanya.

Menurutnya lagi, diharap GLC dan GLIC menerusi program CSR berusaha membina lebih banyak rumah kos rendah atau sederhana bagi membolehkan golongan B40 atau M40 mampu memiliki rumah pertama.

“Untuk capai hasrat ini, kerajaan juga perlu mainkan peranan dan menjayakan matlamat ini dengan mempermudahkan cara,” jelasnya.

Abd Ghani memaklumkan, kesemua isu berkenaan telah dibangkitkan beliau dalam sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen.

“Saya harap kerajaan atau kementerian terlibat memberi perhatian kepada isu yang saya kemukakan agar rakyat beroleh manfaat kerana kesemua isu tersebut amat dekat dengan rakyat,” tegasnya.