Syed Saddiq dakwa peruntukkan ahli Parlimen ditarik balik

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa peruntukan kawasan Parlimen Muar telah ditarik balik oleh kerajaan.

Dakwanya, tindakan itu dibuat sejurus keputusan beliau tidak lagi menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan keluar daripada blok kerajaan.

“Mengenai perkara ini, saya mendapat pengesahan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bahawa sebaik sahaja saya sertai blok ini, peruntukan telah ditarik balik, dikosongkan," katanya di Dewan Rakyat.

Ujar beliau, nasib serupa berlaku terhadap ahli Parlimen pembangkang yang lain.

"Ini sama juga bagi semua ahli parlimen pembangkang, yang saya yakin tidak mendapat peruntukan sehingga hari ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (PH- Nibong Tebal) memberi jaminan tidak akan menghentikan sebarang perancangan pembinaan dan infrastruktur pendidikan di semua negeri termasuk kawasan pembangkang.

Susulan ketegasan yang dinyatakan Fadhlina, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) bangkit menyatakan sokongan dalam masa sama menyatakan kebimbangan mengenai sikap pembangkang yang sering memainkan sentimen bahawa kerajaan memilih bulu dalam memberikan peruntukan.

Beliau juga memetik nama Syed Saddiq sebagai contoh.

Artikel Berkaitan:

"Apabila Muar keluar daripada kerajaan, dia cuba bangkitkan persepsi bahawa kerajaan itu memilih bulu untuk tidak jaga kawasan pembangkang dan lebih membimbangkan saya adalah jika ada satu kes, dia akan akan terus bangkitkan dan kata kerajaan pilih bulu," katanya.