'Dunia pendidikan begitu mulia, jangan kotori dengan rasuah'

Hamdan Daniel
Hamdan Daniel
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin atau pentadbir yang menjawat jawatan penting perlu menunjukkan contoh ketika menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan prinsip urus tadbir yang baik dan menolak perbuatan rasuah.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, oleh itu laporan mengenai penahanan seorang pengetua sekolah dan ketua pembantu tadbir kerana disyaki bersubahat meminta dan menerima rasuah adalah sesuatu yang sukar untuk diterima.

"Sedarlah bahawa kedudukan dunia pendidikan begitu mulia janganlah dikotori oleh tangan rakus yang mengambil rasuah sebagai teman hidup.

"Perlu ada rasa kesedaran dan rasa bersalah sekiranya terpalit dengan kes rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang telah menahan seorang pengetua sekolah dan ketua pembantu tadbir kerana disyaki bersubahat meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM17,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 53 tahun dan suspek wanita berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang kira-kira jam 7 petang Isnin selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang kontraktor sebagai balasan memberikan kerja-kerja penyelenggaraan pagar di asrama sekolah kepada syarikat milik kontraktor terbabit pada Januari lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Mengulas lanjut Hamdan berkata, usaha membanteras rasuah perlu dipergiatkan lagi kerana amalan rasuah telah menjadi virus yang kian membarah dan semakin sukar dibendung.

"Oleh itu besarlah harapan, bagi setiap rakyat Malaysia tidak kira status atau kedudukan dalam sesuatu organisasi untuk bangkit melawan dan menolak rasuah sehingga ke akar umbi.

"Ini boleh diterjemahkan dengan menjadikan gaya hidup yang sihat tanpa mengambil rasuah walau dalam apa cara sekalipun," katanya.